|
PERUTUSAN KHAS
PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH PERZIM
Assalamualaikum w.b.t.
Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau.
Warisan Teras Wawasan.
Pertamanya saya mewakili Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium
Melaka (PERZIM) dan seluruh warga kerjanya mengambil kesempatan ini
mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru 2012 Masihi bersamaan
1433 hijrah dan semoga kita semua terus cemerlang dalam setiap bidang
yang dilaksanakan.
PERZIM terus mengukir nama di persada dunia dengan
pencapaian-pencapaian cemerlang yang diperolehi sepanjang tahun
2011. Ini terbukti apabila salah satu produk pelancongan PERZIM
iaitu Program “Sleepover at the museum” memenangi anugerah
"Best Tour Programme" dalam “Malaysia Tourism Award 2010/2011”
anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia pada 20 Disember 2011 lalu.
Malahan PERZIM terus melakar kecemerlangan apabila berjaya mencapai
sasaran 800 000 orang pengunjung pada tahun ini berbanding pada
tahun sebelumnya sebanyak 720 000 orang sahaja. PERZIM bertekad
mensasarkan seramai 900,000 ribu orang pelawat berkunjung ke Melaka
pada tahun 2012.
Untuk merancakkan lagi sektor permuziuman tahun 2012 ini, beberapa
muzium dan galeri baru ditubuhkan sebagai tarikan pelancongan di
Melaka. Antara muzium yang dijangkakan bakal menjadi ikon
pelancongan terbaik adalah penubuhan Muzium Kapal Selam di Kompleks
Maritim Melaka, Klebang. Selain itu, PERZIM turut menubuhkan Galeri
Al-Jabar dan Galeri Penghulu Demang Abdul Ghani yang telah pun
dibuka kepada para pelancong. PERZIM turut melaksanakan kerja-kerja
menaik taraf Muzium Rakyat, Kecantikan dan Layang-layang serta
penubuhan Galeri Golf Melaka yang dijangka siap pada tahun 2012.
Sesungguhnya dengan sifat dedikasi, sabar, tidak mengenal erti
putus asa, komited, fokus dalam melaksanakan kerja dan ikhlas yang
ada pada setiap warga kerja PERZIM mampu menjulang PERZIM menjadi
sebuah institusi pemuziuman bertaraf antarabangsa yang begitu
unggul dan disegani di seluruh dunia.
Saya juga mengambil kesempatan ini, merakamkan ucapan ribuan terima
kasih kepada para pelancong dari dalam dan luar negara kerana
menjadikan Negeri Melaka, khasnya muzium sebagai destinasi
pelancongan wajib sepanjang tahun 2011 ini. Sesungguhnya
Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia.
PERZIM akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk
merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin membangunkan Negeri
Melaka sebagai Negeri Pelancongan sejajar dengan pengiktirafan
Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia.
(DATUK
WIRA HAJI HAMDIN BIN ABDOLLAH)
Pengrusi Lembaga Pengarah PERZIM |