Melaka Young Talent Awards (MYTA 2016) Lahirkan Artis Seni

Hits: 90

29 April 2017, Kuala Lumpur – Pada tahun 2016, Art Laboratory Research & Training dengan kerjasama Kumpulan Pelukis Negeri Melaka, Dasein Academy Of Art dan Pihak Perbadanan Muzium Melaka telah mengadakan sesi pencarian bakat baru dalam bidang seni lukis telah diadakan di Melaka.

Bermula dari itu, seramai 8 orang telah dipilih, diajar dan berjaya menamatkan latihan dengan jayanya. Pelajar yang dimaksudkan ialah Fransiscus Hagen, Wendy Liow Shu Ching, Jia Hui, Trish, Mohd Aslan, Suzen Ong Sue Jee, Nur Widyan dan Denise Tan.

Menurut Datuk Khamis Abas dalam ucapannya “Pihak PERZIM sememangnya menyokong aktiviti ini sejak awal di mana kebanyakan sesi latihan para pelajar terlibat turut diadakan di beberapa premis PERZIM seperti di Balai Seni Lukis Melaka, Galeri Seni Rakyat dan juga Balai Syed Sheikh Al-Hadi di Jalan Kota, Banda Hilir.”

“Selain daripada itu, sebahagian pelajar terlibat juga telah berpeluang mengikuti pelbagai program berteraskan seni yang dianjurkan oleh PERZIM sepanjang tahun 2016 serta berinteraksi dengan artis ataupun penggiat-penggiat seni lukis lain yang diundang oleh PERZIM.” Tambah beliau lagi.

Pemenang tempat pertama Melaka Young Talent Awards (MYTA 2016) ialah Jia Hui yang memenangi biasiswa penuh sebanyak RM30,000.00 bagi mengikuti kursus seni lukis di mana-mana pusat pengajian.

Manakala Nur Widyan dan Suzen Ong Sue Jee, masing-masing menerima biasiswa bernilai RM10,000.00 selama 1 tahun untuk melanjutan pelajaran dalam bidang seni lukis.

Penyampaian anugerah telah berlangsung di Dasein Academy Of Art, Kuala Lumpur.