KUIM, JMM dan PERZIM Jalin Kerjasama Perkasakan Seni, Budaya & Warisan

Hits: 463

Hari ini satu lagi sejarah dilakarkan antara Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) apabila dua perjanjian persefahaman (MOU) telah ditandatangani oleh ketiga-tiga pihak dalam menjalinkan usahasama dalam aspek pendidikan, penyelidikan dan penerbitan.

Majlis tandatangani MOU ini telah diadakan di Perpustakaan Al-Ghazali, KUIM dengan masing-masing KUIM diwakili Prof. Datuk Dr. Hj. Mohd Taib Hj. Dora, Naib Canselor, JMM dihadiri oleh Datuk Kamarul Baharin bin A. Kassim, Ketua Pengarah dan PERZIM oleh YB. Datuk Wira Hjh. Norpipah binti Abdol selaku pengerusi PERZIM.

Usaha ini diadakan adalah selaras dengan objektif Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bagi memperkasakan seni, budaya dan warisan berteraskan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam mengukuhkan perpaduan negara.

Dengan adanya MOU ini diharapkan akan menjadi pemangkin untuk membina entiti kerjasama yang berpotensi besar untuk membolehkan usaha memartabatkan seni, sejarah dan warisan negeri dan juga negara diteruskan dari generasi ke generasi.

MOU ini juga diharapkan dapat digerakkan secara aktif dalam menerokai, memelihara dan menyebarluaskan ilmu-ilmu sejarah kepada generasi kini dan akan datang.