Irama Dondang Sayang Berkumandang di Muzium Sejarah

Hits: 149

Dondang Sayang bukanlah sesuatu yang asing di Melaka. Walaupun begitu, sekiranya ia tidak didendangkan, tidak diberi ruang, nescaya Dondang Sayang akan pupus ditelan zaman.

Usaha Jabatan Warisan Negara (JWN) yang telah mencalonkan Dondang Sayang ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2017 menggambarkan bahawa Dondang Sayang ini harus dipulihara dengan sewajarnya.

Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sebagai antara jabatan yang berperanan untuk memulihara warisan tidak ketara turut terpanggil untuk melestarikan warisan Dondang Sayang khas untuk tatapan pelancong-pelancong yang berkunjung ke muzium.

Usaha ini dilakukan demi memartabatkan muzik tradisi seperti Dondang Sayang untuk lebih dikenali terutama oleh generasi terkini dan pelancong asing yang mana sudah pasti ingin mencari satu kelainan dalam irama lagu yang terdapat di negeri Melaka yang bersejarah ini.

Ia juga turut memberikan nilai tambah kepada pelawat di Melaka, muzium khasnya untuk berhibur sambil mendengar lagu-lagu yang diperdendangkan.