Perutusan Pengerusi
Assalamualaikum w.b.t.
Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau.
Warisan Teras Wawasan.
Marilah kita mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana diberikan ruang dan peluang untuk terus mengorak langkah ke tahun 2013 yang sudah pastinya menjanjikan lebih banyak cabaran dan dugaan. Pengalaman sepanjang 2012 amat mencabar warga institusi permuziuman dan diharapkan agar ianya dijadikan sebagai panduan yang mendewasakan pemikiran dan usaha-usaha yang bakal dijalankan untuk terus membangunkan institusi permuziuman yang dicintai.
Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada para pelancong dari dalam dan luar negara kerana menjadikan muzium-muzium di bawah seliaan PERZIM sebagai destinasi pelancongan pilihan sepanjang tahun 2012. Sehingga 30 Disember 2012, PERZIM telah berjaya menerima seramai 841, 292 ribu orang berbanding pada tempoh yang sama tahun 2011 hanya seramai 809,075 ribu orang pelawat domestik dan antarabangsa. Ini membuktikan para pelancong masih meletakkan muzium sebagai destinasi pilihan mereka.
Kandungan laman web PERZIM akan dikemaskinikan dari masa ke semasa agar ianya menjadi gerbang maklumat yang dapat merangsangkan minda dan pemikiran semua generasi lebih-lebih lagi dalam menyampaikan dan menyebarkan mesej tentang warisan secara maya. Diharapkan aspek sejarah dan warisan budaya tempatan akan terus meresapi hati dan minda seluruh rakyat Melaka dan Malaysia amnya di samping kita mengukuhkan serta mendukung gagasan 1 Malaysia.
Saya mengharapkan agar PERZIM terus cemerlang dan terus komited menyemarakkan lagi industri pelancongan Melaka dan diharapkan agar lebih ramai lagi pelancong mengunjungi muzium-muzium dan galeri melalui penganjuran pelbagai aktiviti serta pameran menarik dan berkualiti sepanjang tahun 2013. Pengunjung laman web PERZIM juga dialu-alukan untuk memberikan maklumbalas dan membantu PERZIM dalam menambahkan bilangan pelawatnya secara maya.
Sekian. Wassalam
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2013
WARISAN TERAS WAWASAN.
(DATUK WIRA HAJI HAMDIN BIN ABDOLLAH)
Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM
