Galeri Ketua Menteri Melaka
- Galeri Ketua Menteri Melaka (GKMM) yang terletak di Bukit Peringgit, Melaka telah ditubuhkan atas saranan kerajaan negeri Melaka yang mempamerkan sejarah Ketua Menteri Melaka yang pertama sehingga Ketua Menteri Melaka yang terkini iaitu Y.A.B Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam. Bangunan ini pernah menjadi kediaman rasmi YAB Ketua Menteri Melaka sejak dari tahun 1972 sehingga 2005 dan telah diubahsuai menjadi galeri setelah bangunan kediaman rasmi Ketua Menteri yang baru telah siap dibina.
- Galeri yang mempamerkan ruang asal bangunan semasa didiami oleh Ketua Menteri Melaka bersama keluarga ini termasuk ruang kerja, bilik tidur, ruang tamu serta ruang ilham. Ia juga turut memberi pelbagai info berguna mengenai latar belakang, jasa serta sumbangan yang telah diberikan oleh Ketua Menteri semasa menerajui Melaka melalui panel yang disediakan. Turut dipamerkan adalah hadiah, cenderahati dan koleksi peribadi Ketua Menteri.
- Dengan kewujudan galeri ini, pelawat berpeluang merasai suasana sebenar kediaman seorang pemimpin kerana keseluruhan ruang termasuk perabot merupakan koleksi asal Ketua Menteri Melaka seperti pakaian, katil, sofa, meja dan sebagainya. Galeri ini merupakan pusat rujukan utama jika ingin mengkaji mengenai institusi Ketua Menteri serta melihat suasana kediaman seorang pemimpin.
