Galeri Demang Abdul Ghani
- Rumah tradisional ini dipercayai didirikan oleh Penghulu Abdul Majid, seorang hartawan berasal dari Palembang pada tahun 1831. Penghulu atau demang merupakan ‘raja kecil’ dan amat dihormati oleh masyarakat pada ketika itu. Rumah ini didirikan tanpa menggunakan paku serta mempunyai enam ruang utama iaitu anjung, serambi, rumah ibu, pelantar, dapur, serta dua loteng yang dikhaskan untuk kegunaan kaum wanita. Pentadbiran kampung berpusat di sini dan sering digunakan sebagai tempat perjumpaan bagi membincangkan hal ehwal masyarakat. Tiga generasi penghulu pernah mendiami rumah ini iaitu Penghulu Abdul Majid (1831-1834), Demang Abdul Ghani bin Abdul Majid (1834-1934) dan Penghulu Mat Natar bin Abdul Ghani (1934-1978).
