PAKEJ LAWATAN SAMBIL BELAJAR SEMPENA MUSIM PEPERIKSAAN UPSR

Hits: 37

Sempena musim peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ini beberapa sekolah mengambil peluang dengan membawa para pelajar yang tidak terlibat dengan peperiksaan tersebut melawat ke muzium-muzium menarik di sekitar Melaka.

Tidak ketinggalan Hang Tuah Centre yang tidak putus-putus menerima kunjungan para pelajar sejak hari Isnin yang lalu.

Terbaru dengan kerjasama beberapa pihak seperti Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Pusat Warisan & Kebudayaan Melayu Perantara, Warisan Tuah Tujuh dan Persatuan Cahaya D’Lima Bulan Bintang Matahari pelbagai program telah diatur bagi menjadikan lawatan para pelajar lebih menarik dan berilmiah. Pelbagai pengisian program ilmiah telah diadakan seperti aktiviti Senaman Tua, menenun dan mencanteng batik, demonstrasi persembahan silat bergendang, teknik memandi dan mengasap keris serta aktiviti memanah tradisional.

Seramai 146 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin, Ayer Keroh telah menyertai program pakej lawatan sambil belajar ini. Program yang diadakan ini telah bermula sejak tahun lalu dan ianya terus mendapat sambutan dari sekolah-sekolah sekitar negeri Melaka.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, Datuk Haji Khamis bin Haji Abas turut sudi hadir menyambut lawatan yang julung-julung kali diadakan pada tahun ini dan menyampaikan beberapa cenderahati kepada para pelajar.