HANG TUAH CENTRE HIDUPKAN TRADISI MELAYU

Hits: 6

Perkampungan Hang Tuah yang terletak di Kampung Duyong dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2013 merupakan satu inisiatif untuk mengangkat kampung tersebut sebagai tempat kelahiran Hang Tuah sepertimana terdapat dalam catatan sejarah.

Terdapat beberapa elemen dalam pembangunan perkampungan ini meliputi Muzium Hang Tuah, rumah lima pembesar iaitu rumah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi Hang Lekir dan Hang Lekiu iaitu di dalam satu komponen Hang Tuah Centre (HTC).

Di dalam HTC juga turut mempunyai beberapa gelanggang silat dan sebuah gelanggang silat utama yang terbesar yang boleh memuatkan lebih 1,000 pesilat dalam satu-satu masa. Selain itu, terdapat juga gelanggang kuda berdekatan gelanggang silat tersebut.

Di perkampungan tersebut juga mempunyai beberapa lagi tempat tarikan antaranya rumah-rumah Melayu tradisional, Balai Adat dan Pusat Tenun Melaka yang mana sering diadakan program-program berkaitan seni dan budaya.

Di HTC misalnya, Program Lawatan Ilmiah kian mendapat tempat di hati para pelawat terutama dari sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Terbaru, sekumpulan 27 orang pelajar dari Fakulti Warisan, Pelancong dan Seni Kebudayaan, Kolej Universiti Yayasan Pahang telah mengikuti program ini yang diadakan pada 22 September 2018.

Kali ini Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bekerjasama dengan Pusat Warisan dan Kebudayaan Melayu (PERANTARA) mengadakan modul tambahan kepada program lawatan ilmiah yang sedia ada.

Sebelumnya, program ini hanya melibatkan sesi di mana peserta mengikuti aktiviti-aktiviti seperti lawatan berpandu ke muzium, kuiz, latihan dalam kumpulan dan aktiviti memanah tradisional.

Atas permintaan peserta sendiri terdapat tambahan aktiviti dijalankan iaitu teknik membuat dan menyolek destar serta teknik ikatan samping.

Bagi teknik membuat dan menyolek destar, ia diajar dengan perkara asas sebagai pengenalan kepada peserta. Walaupun begitu, peserta sudah mampu untuk menghasilkan destar sendiri dengan baik dalam masa yang singkat.

Antara yang peserta gemari ialah teknik ikatan samping. Tidak seperti pemakaian samping biasa, peserta diajar dengan pelbagai cara pemakaian samping yang lebih menarik dan menawan.

Program Lawatan Ilmiah ini diadakan adalah untuk memberikan variasi kepada pelawat yang berkunjung ke muzium.

PERZIM sedia mengetahui bahawa pelawat di muzium mempunyai beberapa kategori, ada yang datang sekadar lawatan biasa dan ada juga yang ingin melaksanakan aktiviti yang memberi pengalaman dan ilmu pengetahuan.

Justeru, Program Lawatan Ilmiah merupakan aktiviti yang dikira dapat memenuhi kehendak pelawat yang mendambakan aspek pendidikan.

Selain itu ia juga antara usaha PERZIM untuk merancakkan lagi program di HTC agar ia terus dikunjungi oleh pelawat dari dalam dan luar negara serta secara tidak langsung ia mampu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Seterusnya tradisi Melayu dapat dikekalkan di HTC dengan adanya program-program yang memperkasakan jati diri Melayu dan juga binaan-binaan yang masih mengekalkan seni bina alam Melayu untuk tatapan generasi kini dan akan datang.