Laman Utama
Perutusan Khas
Rangkaian Muzium
Statistik Pelawat
Cahaya dan Bunyi
Tapak Bersejarah
Pakej Pelancongan Pelajar
Lawatan Berpandu Muzium
Mengenai PERZIM
Maklum Balas
Pautan
 
 
 
  BERITA  
   

|Berita 2009|

PERZIM ANJUR MY KAMPUNG CHILDHOOD GAMES CARNIVAL

Jalan Kota, Melaka (22 Mei 2010)  : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menganjurkan program bersama pelajar rendah My Kampung Childhood Games Carnival yang diadakan di perkarangan Muzium Istana Kesultanan Melaka. Program ini dikendalikan bersama rangkaian tadika Little Caliphs. Kira-kira 150 pelajar tadika berusia dari 3 hingga 6 tahun mengikuti program ini iaitu dari Tadika Aulad Musleh, Sungai Udang, Tadika Khalifah Comel, Bukit Katil serta Tadika Al-Fateh, Ayer Keroh.

 

Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas di dalam ucapan perasmiannya mengalu-alukan usaha murni rangkaian tadika Little Caliphs di Melaka dengan penganjuran program sebegini yang mampu menghidup serta menyemarakkan kembali warisan yang semakin dilupakan.

 

Usaha menyemai semangat cintakan khazanah yang semakin dilupakan ini seharusnya disemai di peringkat awal lagi. Usaha yang dilakukan ini amat terpuji. PERZIM berbangga apabila telah wujud pelbagai lapisan masyarakat yang mula menghargai sejarah, kata beliau semasa ditemui selepas majlis perasmian sambil menambah PERZIM sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menghidupkan kembali nilai sejarah dan warisan kita yang amat bernilai ini.

 

Beberapa permainan tradisional serta permainan rakyat turut diperkenalkan kepada pelajar-pelajar cilik ini antaranya congkak, biji getah, rakit darat, baling kelapa, tuju tin, pancing botol dan lain-lain.

 

Sementara itu Puan Siti Affiza bte Mohammad, Pengarah program My Kampung Childhood Games Carnival menyatakan kebanggaan apabila program ini mendapat sokongan dan sambutan yang amat baik di kalangan ibu-bapa serta penjaga pelajar sambil menambah rangkaian Little Caliphs di Melaka sedia menimbang bagi menjadikan program seperti ini yang dijalankan bersama bersama PERZIM sebagai acara tahunan mereka.

-TAMAT-

PELAJAR PRAKTIKAL PERZIM DAN TOURISM MALAYSIA SERTAI SLEEPOVER @ THE MUSEUM

19 Mei 2010, Banda Hilir, Melaka :  Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menganjurkan program Sleepover @ The Museum yang kini semakin mendapat perhatian di kalangan pelajar-pelajar seluruh negara.

Program kali ini disertai oleh pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi yang kini sedang menjalani latihan sambil kerja di Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) serta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Melaka (TOURISM Malaysia). Seramai 20 orang pelajar yang terdiri dari pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Malaysia Sabah (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Politeknik serta Kolej Syahputra ternyata gembira apabila diberi peluang untuk bermalam bersama artifak di dalam muzium. Apa yang lebih menarik sekumpulan wartawan dari majalah pelancongan terkenal - LIBUR turut serta bagi merasai serta merakamkan aktiviti berkenaan untuk disiarkan dalam keluaran yang akan datang.

Program bermalam di dalam muzium anjuran PERZIM yang dikendalikan dengan kerjasama Naza Taliyya Hotel Melaka, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka serta TOURISM Malaysia ini ternyata merupakan antara aktiviti PERZIM yang dinanti-nantikan oleh pelajar terlibat. Salah seorang pelajar berkenaan, Cik Farhana bte Ahmad Kamal ketika ditemui menyatakan kepuasan apabila berpeluang bermalam di dalam muzium yang selama ini tidak pernah beliau fikirkan.

Ternyata aktiviti ini berjaya menarik minat masyarakat untuk terus menghayati sejarah, ujar beliau sambil menyatakan keinginan beliau untuk menyertai sekali lagi program ini kelak.

Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas ketika ditemui jelas gembira sambil menegaskan bahawa Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) akan terus memperhebatkan aktivitinya bagi melahirkan masyarakat yang tahu menghargai serta menghayati sejarah. 

-TAMAT-

PERZIM SERTAI ROADSHOW PROMOSI JOM KE MELAKA DAN SUKAN MALAYSIA XIII DI BANDAR SERI BEGAWAN, BRUNEI

Bandar Seri Bengawan (2 Mei 2010) :  Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) turut serta dalam roadshow promosi Jom ke Melaka dan Sukan Malaysia XIII yang bermula 1 Mei 2010 sehingga 3 Mei 2010 di Bandar Seri Begawan, Brunei. Promosi yang dianjurkan Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri turut disertai beberapa produk pelancongan bagi menarik kunjungan orang ramai untuk melawat Melaka terutama sempena Sukan Malaysia di Melaka pada 10 hingga 19 Jun 2010 nanti. YAB Ketua Menteri Melaka dijangka hadir bagi merasmikan seminar dan travel mart yang diadakan di Center Point Hotel pada 3 Mei 2010.

 

Menurut Pengurus Besar PERZIM Haji Khamis bin Haji Abas, PERZIM turut serta di dalam semua lokasi roadshow ini bagi membantu menarik kunjungan orang ramai ke Bandaraya Warisan Dunia terutamanya ketika berlangsungnya Sukan Malaysia nanti. PERZIM berharap untuk menjadikan muzium-muzium sebagai lokasi yang wajip dikunjungi ketika kunjungan ke Melaka nanti.

 

Promosi kali ini amat perlu bagi menyalurkan maklumat kepada orang ramai betapa Melaka mempunyai pelbagai pilihan pelancongan. Pastinya muzium adalah salah satu lokasi yang perlu dikunjungi bagi menjadikan kunjungan ke Bandaraya Warisan Dunia nanti sesuatu yang amat bermakna, ujar beliau ketika dihubungi.

 

Promosi Jom ke Melaka menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama sebelum diikuti Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Kota Bharu, Alor Star, Kuching, Kota Kinabalu, Bandar Seri Bengawan, Kuala Terengganu serta Kuantan. Penganjuran Sukan Malaysia yang terbesar ini diharapkan mampu melonjakkan nama Melaka sebagai destinasi percutian terunggul di Malaysia kelak.

-TAMAT-

 

PELAJAR IPOH INTERNATIONAL SCHOOL

SERTAI SLEEPOVER AT THE MUSEUM

23 April 2010, Banda Hilir, Melaka :  Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini menganjurkan program Sleepover at the Museum yang disertai seramai 39 orang pelajar dari Ipoh International School.  

 

Program bermalam di dalam muzium anjuran PERZIM yang dikendalikan dengan kerjasama Naza Taliyya Hotel Melaka, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka serta TOURISM Malaysia ini merupakan antara produk pelancongan yang semakin mendapat tempat di kalangan orang ramai. Sehingga kini beberapa institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara, badan-badan korporat serta orang ramai mengambil kesempatan menyertai program bermalam di muzium yang merupakan satu-satunya muzium di Malaysia yang menawarkan peluang ini.

 

Pakej bermalam yang dimulakan dengan menyusuri Sungai Melaka dengan bot, kemudiannya peserta akan meneruskan perjalanan menikmati panorama indah sepanjang Sungai Melaka sehinggalah sampai di Muzium Samudera. Semua peserta kemudiannya diberikan kelengkapan untuk bermalam di dalam Replika Flor De La Mar.

 

Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas menyeru kepada orang ramai terutamanya pelajar-pelajar serta badan-badan korporat di seluruh negara untuk menyertai program ini bagi melahirkan semangat mencintai khazanah warisan negara ini.

 

Kita perlu menyedarkan masyarakat betapa perlunya sejarah dan warisan ini dihargai. Peluang bermalam bersama artifak di dalam muzium ini antara pendekatan terbaik bagi melahirkan masyarakat yang cintakan warisan kita. Kata beliau ketika ditemui semasa program berkenaan.

 

PERZIM juga menjadikan Muzium Istana Kesultanan Melaka sebagai lokasi untuk bermalam selain Replika Flor De La Mar. Orang ramai boleh menghubungi En. Nurman bin Mohd Baroldin,  Unit Promosi Perbadanan Muzium Melaka ditalian 06-2826526 atau 06-2827464.

 

-TAMAT-

 

PERZIM KOMITED PERANGI DENGGI

Jalan Kota (8 April 2010) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) melancarkan gotong royong di seluruh muzium bagi memastikan persekitaran muzium sentiasa bersih dan selamat untuk dikunjungi.

 

Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas berkata, gotong royong dijalankan serentak di semua muzium bermula jam 4.00 petang. Semua pegawai dan kakitangan terlibat di dalam gotong royong ini sebagai langkah memastikan persekitaran sihat.

 

Kami komited di dalam memastikan tidak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini terutama kepada pengunjung muzium-muzium. Bersempena dengan sambutan Hari Kesihatan Sedunia ini kami mengambil langkah pembersihan bagi memastikan suasana persekitaran yang mesra pengunjung serta terhindar dari gejala-gejala yang tidak sihat,  Ujar beliau yang turut sama mengetuai gotong royong berkenaan.

 

Semua kemungkinan yang membolehkan pembiakan nyamuk turut dimusnahkan bagi memastikan persekitaran muzium sentiasa terhindar dan selamat dari gejala aedes.   

-TAMAT-

 

PERZIM ANJUR BENGKEL MEMBUAT LAYANG-LAYANG

Jalan Kota, Melaka (7 April 2010)  : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menganjurkan Bengkel Membuat Layang-layang yang diadakan di Muzium Istana Kesultanan Melaka pada 7 April 2010. Pengurus Besar PERZIM, Haji Khamis bin Haji Abas hadir untuk merasmikan bengkal ini yang dibuka penyertaannya kepada para pelajar. Bengkel ini akan dikendalikan oleh En. Chong Swee Ching serta En. Kam Lian Kiong dari Persatuan Pelayang Melaka. En. Chong serta En. Kam merupakan antara anak Melaka yang masih aktif dalam permainan tradisional ini.

 

Penganjuran bengkel seumpama ini merupakan salah satu usaha PERZIM bagi memastikan agar permainan tradisional ini tetap segar serta digemari masa kini, kata beliau semasa ditemui selepas majlis perasmian sambil menambah Tun Sri Lanang pernah mencatat bahawa Raja Ahmad serta kerabat di raja bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda pada suatu masa dahulu.

 

Permainan layang-layang ini merupakan satu permainan yang dimainkan di seluruh dunia. Festival Layang-layang Antarabangsa yang diadakan setiap tahun di Pasir Gudang merupakan antara acara terbesar membabitkan pelbagai rekaan serta corak layang-layang dari seluruh dunia. Perbadanan Muzium Melaka juga mempunyai Muzium Layang-layang yang bertempat di Aras 1, Bangunan Muzium Rakyat yang dibuka setiap hari bermula jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang dengan bayaran RM 2.00 untuk dewasa dan RM 0.50 untuk kanak-kanak dan pelajar. Selain muzium layang-layang, orang ramai juga boleh mengunjungi Muzium Rakyat dan Muzium Kecantikan dengan menggunakan tiket yang sama.

 

Bengkel setengah hari ini disertai oleh para pelajar dari Sekolah Kebangsaan St. Francis serta Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir. Selain berpeluang membuat sendiri layang-layang menggunakan bahan tradisional seperti buluh, peserta juga didedahkan beberapa rahsia serta teknik menghasilkan layang-layang yang baik.

 

Selaras dengan pengiktirafan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia, usaha yang dilakukan PERZIM sangat wajar bagi memastikan warisan tidak nyata seperti permainan layang-layang tidak tenggelam di telan pembangunan.

-TAMAT-

 

PERZIM TAWAR POTONGAN 50% SEMPENA

SAMBUTAN HARI KESIHATAN

Jalan Kota (2 April 2010) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menawarkan potongan istimewa sebanyak 50% kepada pengunjung sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan yang akan disambut di Melaka pada 9 - 11 April 2010 nanti.

 

Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas berkata, potongan istimewa ini akan diberikan kepada semua warga Kesihatan bermula pada jam 9.00 pagi sehingga 5.30 petang pada hari berkenaan di semua muzium di bawah pentadbiran PERZIM.

 

Sebagai menghargai peranan besar yang telah dimainkan oleh semua warga kesihatan ke atas sumbangan besar kepada negara, PERZIM menawarkan potongan harga ini sebagai satu tanda sokongan kepada mereka. Ujar beliau sambil mengharapkan agar warga kesihatan terus menyumbang kepada negara.

 

Haji Khamis juga menambah sambutan Hari Kesihatan Peringkat Kebangsaan ini akan diadakan di Sepanjang Jalan Kota dengan pelbagai aktiviti telah dirancang bagi menjadikan ianya sangat bermakna. PERZIM amat berbesar hati menawarkan potongan ini sambil berharap agar warga kesihatan di seluruh Malaysia mengambil peluang istimewa ini.  

-TAMAT-

PERZIM ANJUR DOCENT TRAINING WORKSHOP

17 Mac 2010, Banda Hilir, Melaka :  PERZIM akan menganjurkan Docent Training Workshop bermula April depan sebagai langkah memberi peluang kepada orang ramai mendekatkan diri kepada institusi pemuziuman demi memartabatkan kembali sejarah serta warisan tanahair. Program yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Sahabat Muzium ini akan mendedahkan para peserta dengan dunia pemuziuman.

 

Yang di-Pertua Persatuan Sahabat Muzium, Puan Hajjah Mismy bte Mohamad memberitahu semua peserta akan diberi tunjuk ajar tentang pengetahuan serta kemahiran mengenai sejarah dan warisan sehingga mampu menerangkan malah menjadi pemandu pelancong kelak.

 

kami akan mendedahkan tips-tips untuk bercakap dengan baik di kalangan pelancong, kami mengharapkan akan muncul sukarelawan di kalangan penduduk tempatan yang akan menerangkan kepada para pelancong tentang khazanah yang kita miliki, ujar beliau ketika ditemui pada majlis taklimat program yang disampaikan oleh Pemandu Pelancong berpengalaman, En. Shaukani bin Abas di Dewan PERZIM.

 

Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM 50.00 seorang namun perlu menjadi ahli Persatuan Sahabat Muzium terlebih dahulu dengan yuran pendaftaran RM 10.00 dan yuran keahlian RM 5.00 setiap tahun. Jumlah penyertaan dihadkan kepada 25 orang sahaja untuk sesi pertama yang akan bermula pada bulan depan. Dengan adanya peluang sebegini diharap akan lahir para sukarelawan yang mampu membantu PERZIM memperkasa serta memartabatkan kembali sejarah.

 

Setiap pertanyaan boleh berhubung dengan Unit Promosi PERZIM di talian 06-2826526, 06-2827464 atau Setiausaha Persatuan Sahabat Muzium, Pn. Aryati bte Arshad di talian 06-2812886.

-TAMAT-

PELAJAR GRIFFITH PRIMARY SCHOOL, SINGAPURA

SERTAI SLEEPOVER @ THE MUSEUM

14 Mac 2010, Banda Hilir, Melaka :  Program Sleepover @ The Museum yang dianjurkan Perbadanan Muzium Melaka serta Naza Talyya Melaka dengan kerjasama Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka dan TOURISM Malaysia membuktikan semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa apabila 36 pelajar perempuan dari Griffith Primary School, Singapura menyertainya semalam.

 

Pakej pelancongan yang unik ini nyata semakin dikenali di singapura lebih-lebih lagi setelah PERZIM menyertai NATAS Fair 2010 di singapura baru-baru ini. Program yang padat dengan aktiviti antaranya menyusuri sungai Melaka dengan bot, berjalan sepanjang Sungai Melaka menitip kesan-kesan sejarah, menikmati panorama Bandaraya Warisan Dunia di waktu malam, menyertai aktiviti khas di Muzium Samudera sebelum tidur bersama artifak sejarah di dalam muzium.

 

Lebih menarik apabila PERZIM turut membuat kejutan pada program kali ini apabila membawa TUAH, maskot rasmi Sukan Malaysia XIII. Para peserta yang terdiri dari pelajar-pelajar sekolah rendah ternyata sangat gembira dan terkejut dengan penampilan tuah pada program sleepover ini.

 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM, Y.Bhg Datuk Wira Haji Hamdin bin Abdollah ketika dihubungi memaklumkan PERZIM mengambil kesempatan program sleepover bagi turut sama membantu mempromosikan Sukan Malaysia yang akan berlangsung pada Jun 2010 di Melaka nanti.

 

memandangkan pelajar-pelajar Singapura akan bercuti panjang pada Jun nanti, kita mengambil kesempatan ini mempromosikan Sukan Malaysia XIII bagi menarik kunjungan warga Singapura ke Melaka pada bulan Jun nanti, ujar Datuk Wira Hamdin lagi.  

-TAMAT-

YM SULTAN SOLO KUNJUNGI PERZIM

Banda Hilir, Melaka (12 Mac 2010) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini menerima kunjungan tetamu istimewa iaitu Sultan Pakoe Boewono XIII dari Kesultanan Solo, Indonesia. Tetamu istimewa ini telah di bawa melawat ke Muzium Istana Kesultanan Melaka sambil diberi penerangan ringkas tentang sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

 

Kesultanan Solo, sebuah kesultanan yang berhubung kait dengan Kerajaan Mataram sememangnya mempunyai kaitan dengan Kesultanan Melayu Melaka kira-kira 600 tahun dahulu. Kunjungan YM Sultan Pakoe merupakan sesuatu yang sangat bermakna apatah lagi kedua-dua Kesultanan ini tercatat di dalam sejarah sebagai kerajaan yang memainkan peranan penting suatu masa dahulu.  

-TAMAT-

PELAJAR KYM SERTAI SLEEPOVER @ THE MUSEUM

12 Mac 2010, Banda Hilir, Melaka :  Pelajar Kolej Yayasan Melaka (KYM) menyertai Program Sleepover @ The Museum. Program anjuran Perbadanan Muzium Melaka dan Naza Taliyya Hotel dengan kerjasama Perbadanan Sungai dan Pantai Negeri Melaka serta TOURISM Malaysia ini semakin dikenali dan mampu menjadi salah satu tarikan pelancongan di Bandaraya warisan Dunia ini.

 

Seramai 25 pelajar jurusan pelancongan menyertai program bermalam di muzium bagi memberi pendedahan berguna kepada mereka. Program yang padat dengan aktiviti antaranya menyusuri sungai Melaka dengan bot, berjalan sepanjang Sungai Melaka menitip kesan-kesan sejarah, menikmati panorama Bandaraya Warisan Dunia di waktu malam, menyertai aktiviti khas di Muzium Samudera sebelum tidur bersama artifak sejarah di dalam muzium.

 

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas memaklumkan program ini ternyata telah mendapat tempat di kalangan orang ramai dan akan muncul sebagai tarikan baru industri pelancongan di Negeri Melaka.

 

Sehingga kini kami menerima banyak tempahan melibatkan para pelajar serta juga syarikat-syarikat swasta termasuk dari luar negara, ujar beliau sambil memaklumkan orang ramai juga turut dipelawa menyertai program ini.

 

Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh berhubung terus melalui En. Nurman bin Mohd Baroldin, Unit Promosi PERZIM di talian 06-2826526 atau 06-2827464 atau En. Abu Hassan bin Ismail, Naza Talyya Melaka di talian 06-2882288

-TAMAT-

PERZIM MERAIKAN PENGUNJUNG PAMERAN

TORTURA 2 YANG KE 18,000

Banda Hilir, Melaka (7 Februari 2010) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini meraikan pengunjung ke 18,000 pameran TORTURA 2 yang sedang berlangsung di Balai Syed Syeikh Al-Hadi, Bastion House.

 

Pada majlis ringkas tersebut seorang pengunjung bertuah dari Paka, Terengganu terpilih sebagai pengunjung yang ke 18,000 semenjak pameran ini dibuka pada November 2009 yang lalu. En. Muhammad Zubaidi Marzuki (26) tidak menyangka terpilih sebagai pengunjung bertuah pameran ini.

 

Keasyikan bercuti di negeri bersejarah ini yang indah ini nyata merupakan satu sejarah buat diri saya. Pengalaman ini tidak mungkin saya lupakan, ujar beliau sambil menyatakan kegembiraan sepanjang bercuti di negeri ini.

 

Beliau membawa pulang cenderamata khas berupa buku-buku serta produk-produk jualan  Pameran TORTURA 2. Pengarah Urusan Well Ad Communications Sdn. Bhd. Mr. David Oh bersama Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas sudi hadir serta menyampaikan hadiah tersebut.

 

Sementara itu, haji Khamis ketika ditemui menyatakan kegembiraan apabila pameran ini berjaya menarik kunjungan orang ramai untuk mengunjungi ke muzium serta ke Bandaraya Warisan Dunia ini.

 

Alhamdulillah, pameran ini telah berjaya menarik sehingga 18,000 orang pengunjung. PERZIM juga berusaha untuk mengadakan pameran-pameran berikutnya agar mendapat perhatian dari orang ramai, ujar beliau sambil mengumumkan bahawa Pameran Tortura 2 ini akan dilanjutkan sehingga 31 Mac 2010 bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mengunjunginya sempena cuti persekolahan yang akan datang.

 

PERZIM juga menawarkan pakej istimewa untuk 2 dewasa dan 2 kanak-kanak dengan harga Cuma RM 28.00 sahaja manakala harga istimewa untuk rombongan pelajar juga diwujudkan bagi memberi peluang kepada para pelajar. Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut berhubung pameran tersebut, orang ramai boleh menghubungi Unit Promosi Perbadanan Muzium Melaka di talian 06-2826526 atau 06-2827464.

-TAMAT-

PERZIM SERTAI ROADSHOW PROMOSI JOM KE MELAKA

DAN SUKAN MALAYSIA XIII

Kuala Lumpur (5 Mac 2010) :  Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) turut serta dalam roadshow promosi Jom ke Melaka dan Sukan Malaysia XIII yang bermula hari ini di Kuala Lumpur. Promosi yang dianjurkan Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri turut disertai beberapa produk pelancongan serta beberapa buah hotel bagi menarik kunjungan orang ramai untuk melawat Melaka terutama sempena Sukan Malaysia di Melaka pada 10 – 19 Jun 2010 nanti. YAB Ketua Menteri Melaka turut hadir bagi merasmikan upacara perasmian yang diadakan di Kuala Lumpur Sentral dari 5 hingga 7 Mac 2010.

 

Menurut Pengurus Besar PERZIM Haji Khamis bin Haji Abas, PERZIM akan turut serta di dalam semua lokasi roadshow ini bagi menjadikan muzium-muzium sebagai lokasi yang wajip dikunjungi ketika berlangsungnya Sukan Malaysia nanti.

 

Promosi kali ini amat perlu bagi menyalurkan maklumat kepada orang ramai betapa Melaka mempunyai pelbagai pilihan pelancongan. Pastinya muzium adalah salah satu lokasi yang perlu dikunjungi bagi menjadikan kunjungan ke Bandaraya Warisan Dunia nanti sesuatu yang amat bermakna, ujar beliau ketika dihubungi.

 

Promosi Jom ke Melaka menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama sebelum diikuti Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Kota Bharu, Alor Star, Kuching, Kota Kinabalu, Bandar Seri Bengawan, Kuala Terengganu serta Kuantan. Penganjuran Sukan Malaysia yang terbesar ini diharapkan mampu melonjakkan nama Melaka sebagai destinasi percutian unggul di Malaysia kelak.

-TAMAT-

PERZIM TAWAR POTONGAN 50% SEMPENA HARI WANITA

Jalan Kota (4 Mac 2010) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menawarkan potongan istimewa sebanyak 50% kepada pengunjung sempena sambutan Hari Wanita pada 8 Mac 2010 nanti.

 

Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas berkata, potongan istimewa ini akan diberikan kepada semua golongan wanita bermula pada jam 9.00 pagi sehingga 5.30 petang pada hari berkenaan. Bagaimanapun kadar istimewa ini hanya diberikan untuk mengunjungi Kompleks Muzium Rakyat sahaja yang terletak di Jalan Kota.

Sebagai menghargai peranan besar yang telah dimainkan oleh golongan wanita ke atas pembangunan negara, PERZIM menawarkan potongan harga sebagai satu tanda sokongan kepada mereka. Ujar beliau sambil mengharapkan agar golongan wanita terus teguh menyumbang untuk kemajuan negara.

Haji Khamis juga menambah sememangnya terpahat nama-nama wanita semenjak era Kesultanan Melayu Melaka lagi. Nama-nama besar seperti Tun Teja, Tun Kudu, Tun Fatimah, Dang Merduwati serta beberapa nama lagi jelas menunjukkan betapa wanita telah memainkan peranan yang hebat serta mampu melakar sejarah sebagai tokoh yang harus dikenang.  

Kunjungilah Kompleks Muzium Rakyat pada kadar istimewa ini. Selain Muzium Rakyat terdapat juga Muzium Kecantikan, Muzium Layang-layang serta Galeri 3D, tambah Haji Khamis lagi sambil mengharapkan agar golongan wanita mengambil peluang tawaran yang diberikan PERZIM ini.

-TAMAT-

SRIKANDI PERZIM ANJUR PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA JARING DENGAN BSN MELAKA

Muzium Yang di-Pertua Negeri Melaka (29 Julai 2009): Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM (KSK PERZIM) hari ini mengadakan perlawanan bola jaring persahabatan dengan Persatuan Bola Jaring Bank Simpanan Nasional (BSN). Perlawanan hebat yang berlangsung di Padang Muzium Yang di-Pertua Negeri Melaka telah dimenangi BSN dengan keputusan 20-10.

 

Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM, En Nurman bin Mohd Baroldin ketika ditemui melahirkan kegembiraan kerana mampu menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan masyarakat luar melalui penganjuran sukan dan sebagainya. Walaupun warga PERZIM agak sibuk dengan tugasan harian bagi memartabatkan institusi pemuziuman, ternyata masih mampu menganjurkan perlawanan persahabatan sebegini.

 

Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas turut memaklumkan langkah yang dijalankan PERZIM kini terbukti berkesan bagi merapatkan hubungan antara masyarakat dengan PERZIM. Penerimaan masyarakat terhadap usaha memartabatkan warisan ternyata lebih mudah dan mampu dilaksanakan dengan berkesan.

 

Selaras dengan pengiktirafan sebagai Bandaraya Warisan Dunia, penghayatan terhadap warisan dan sejarah perlu dilakukan secara menyeluruh membabitkan semua pihak. Melalui aktiviti bersukan seperti ini diharap mampu merapatkan hubungan seterusnya melahirkan masyarakat yang cintakan warisan sejarah yang semakin dilupakan, ujar beliau lagi.  

 

Melalui pendekatan melalui sukan membolehkan PERZIM menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat berhubung tugas dan peranan yang dilaksanakan PERZIM di dalam memastikan warisan negara terus terpelihara. Orang ramai berpeluang untuk mengenali serta merapatkan diri dengan PERZIM secara langsung serta memudahkan usaha mempromosi muzium-muzium dijalankan dengan berkesan. 

 

Ketua pasukan 'Srikandi' Puan Farahwahedah bte Abd Wahab ketika ditemui turut mengalu-alukan kepada mana-mana pasukan bola jaring untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Srikandi. Peluang bermain bola jaring di padang Muzium Yang di-Pertua Negeri Melaka yang terletak di atas Bukit St. Paul ini boleh dijadikan satu pengalaman menarik apatah ianya kaya dengan sejarah serta pemandangan indah Bandaraya Melaka.

-TAMAT-

PERZIM SERTAI NATAS FAIR 2009 DI SINGAPURA

Singapura (27 Februari 2010) :  Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memperhebatkan promosi produk pelancongannya apabila menyertai National Association Of Travel Agents Singapore (NATAS FAIR 2010) yang diadakan di Pusat Expo, Singapura. Pameran yang bermula pada 25 Februari hingga 28 Februari 2010 merupakan pameran produk pelancongan bertaraf antarabangsa yang menjadi acara tahunan di Singapura. Selain Malaysia, negara-negara asia tenggara lainnya turut menyertainya antaranya Indonesia, Thailand, Filipina termasuk juga India, China, Jepun, Korea, Taiwan dan Australia. Selain PERZIM, beberapa produk pelancongan dari Melaka turut menyertai pameran berprestij ini antaranya Melaka Duck Tours serta beberapa hotel yang turut serta melalui Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka.    

 

Menurut Haji Khamis bin Haji Abas, Pengurus Besar PERZIM, promosi kali ini  disertai melalui Tourism Malaysia dan PERZIM mengambil peluang mengetegahkan produk 'Heritage Sleepover @ The Museum' selain Melaka Heritage Park yang bakal beroperasi pada April nanti. Maklumbalas yang diterima dari pelancong Singapura sangat menggalakkan. Mereka memuji langkah PERZIM menawarkan pakej bermalam di muzium yang merupakan satu peluang yang tidak mungkin dilepaskan.

 

Kita berpeluang mempromosi pakej sleepover kepada warga Singapura. Saya yakin produk ini mampu mendapat sambutan berdasarkan minat menggalakkan yang ditunjukkan oleh agensi pelancongan di Singapura., tambah beliau lagi sambil memaklumkan beberapa agensi bersetuju memasukkan pakej bermalam di muzium untuk dijual di Singapura.

 

PERZIM juga mengambil langkah awal mempromosikan Melaka Heritage Park yang bakal dibuka pada April ini. Dengan adanya produk pelancongan seperti ini diharap mampu menjadi tarikan bagi warga Singapura untuk terus menjadikan Melaka sebagai lokasi pelancongan terbaik untuk mereka.

 

Haji Khamis juga mengucapkan terima kasih kepada TOURISM Malaysia yang menawarkan tempat kepada PERZIM dalam acara inidan berharap agar PERZIM akan sentiasa diberi peluang untuk mengikuti promosi-promosi anjuran mereka seterusnya.

-TAMAT-

Sleepover @ The Museum - PERZIM perluaskan aktiviti di Muzium Istana Kesultanan Melaka

Jalan Kota, Melaka (5 Februari 2010) - Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mengadakan percubaan program Sleepover @ The Museum di Muzium Istana Kesultanan Melaka hari ini. Program bermalam di muzium yang sering diadakan di Replika Flor De La Mar kini diperluaskan dengan menjadikan Replika Istana Kesultanan Melaka pula sebagai lokasi pilihan kepada pengunjung.

 

Program yang dihadiri oleh Tuan Haji Khamis bin Haji Abas, Pengurus Besar PERZIM turut disertai oleh En. Syed Ahmad bin Yahaya, Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Melaka (TOURISM Malaysia Melaka), En. Salman bin Salim, Pengurus Akademi Pelancongan Melaka(APM) serta juga Pengurus Naza Taliyya Hotel Melaka, En. Abu Hassan Ismail.

 

Seramai kira-kira 30 orang peserta yang terdiri dari pegawai-pegawai TOURISM Malaysia Melaka, Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka (BPP), Akademi Pelancongan Melaka (APM), Pejabat Pelancongan Malaysia Negeri Melaka selain pegawai PERZIM serta kakitangan Naza Taliyya Hotel menyertai program percubaan ini.

 

Pengurus Besar PERZIM ketika diminta mengulas memaklumkan aktiviti bermalam bersama artifak di dalam muzium yang semakin mendapat tempat di kalangan pelancong akan diperluaskan di Muzium Istana Kesultanan Melaka pula. Peluang ini diberikan setelah mendapat maklum balas dari pelancong yang meminta program ini turut diadakan di sini. Beliau juga menambah pengisian program di Muzium Istana hampir sama dengan yang dijalankan di Muzium Samudera cuma beberapa perubahan dilakukan bagi menjadikan program ini lebih menarik.

 

Program yang dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi ini termasuk dengan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka ini menjadi lebih menarik kerana selain berpeluang menyelami sejarah Bandaraya Warisan Dunia ini dengan menaiki bot sepanjang sungai Melaka, peserta program juga berpeluang menikmati panorama Bandaraya Melaka dengan menaiki beca pada waktu malam.

 

Berdasarkan maklumbalas peserta program percubaan ini, kami mungkin

melibatkan Menara Taming Sari bagi memberi peluang peserta menikmati panorama bandaraya di waktu malam, ujar beliau lagi sambil menambah beberapa aktiviti warisan seperti persembahan silat, permainan tradisional dan sebagainya akan dijadikan tarikan dalam program kali ini.

 

Beliau juga berterima kasih serta mengharapkan agar TOURISM Malaysia yang banyak memberikan kerjasama akan terus mempergiatkan lagi usaha bagi menjadikan program ini sebagai tarikan bagi pelancong terutama dari luar negara.

-TAMAT-

PERZIM SERTAI PAMERAN 1 MALAYSIA

Putra World Trade Centre (PWTC) 22-24 Januari 2010 :  Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menyertai pameran 1 Malaysia yang diadakan di Dewan Tun Razak, PWTC, Kuala Lumpur. Pameran yang diadakan selama 3 hari ini mengetegahkan keunggulan inovasi yang dimiliki masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

 

Menurut Haji Khamis bin Haji Abas, Pengurus Besar PERZIM, pameran ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan serta TOURISM Malaysia. PERZIM dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka dan Naza Taliyya Hotel Melaka berganding bahu mempromosikan produk-produk pelancongan yang dimiliki terutamanya Program Sleepover@ The Museum.

 

Maklumbalas dari orang ramai sangat baik. Mereka mengucapkan syabas serta teruja apabila ditawarkan peluang bermalam bersama artifak di dalam muzium, kata beliau ketika diminta mengulas mengenai sambutan terhadap pameran berkenaan.

 

Haji Khamis juga memaklumkan bahawa program bermalam di dalam muzium ini akan diperluaskan di muzium lain terutamanya di Muzium Istana Kesultanan Melaka. Beliau juga menggesa semua agensi-agensi pelancongan serta hotel-hotel yang berminat untuk menjual serta mempromosikan program ini mengikut kesesuaian mereka sendiri. Peluang seperti perlu dimanfaatkan sebaik mungkin memandangkan program ini semakin mendapat tempat di hati orang ramai.

 

Saya percaya Sleepover @ The Museum akan menjadi salah satu tarikan di Melaka nanti, saya juga berharap hotel-hotel serta agensi pelancongan yang berminat menjadikan ianya salah satu pakej pelancongan yang mampu untuk menarik kunjungan orang ramai ke negeri Melaka,  tambah beliau lagi.     

-TAMAT-

PELAJAR KOREA SERTAI SLEEPOVER @ THE MUSEUM

J12 Januari 2010, Banda Hilir, Melaka :  Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini menganjurkan program Sleepover @ the Museum yang disertai seramai 33 orang pelajar Korea dari Multi Media University (MMU).

 

Program ini dimulakan dengan taklimat acara yang disampaikan di Naza Hotel bermula pada jam 7.00 petang sebelum peserta bertolak ke Taman Rempah untuk menyusuri Sungai Melaka dengan bot. Peserta kemudiannya diberi penerangan tentang pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Melaka di Sungai Melaka. Peserta juga berpeluang menyaksikan keindahan Sungai Melaka di waktu malam yang dihiasi dengan kilauan lampu yang menarik.

 

Peserta kemudiannya turun di Padang Nyiru seterusnya menyusuri Sungai Melaka dengan berjalan kaki untuk melihat tinggalan sejarah yang terdapat di sepanjang Sungai Melaka sehinggalah peserta kemudiannya sampai dan bermalam di Muzium samudera Fasa I (Replika Kapal Flor De La Mar)

 

Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas menyatakan kebanggaannya apabila produk pelancongan ini mula mendapat tempat di kalangan pelajar termasuk pelajar asing yang menuntut di Malaysia.

 

Baru-baru ini pelajar dari Singapura menjadi kumpulan pelajar asing yang pertama menyertai program ini, dan kini sekali lagi program ini mendapat sambutan dari pelajar Korea pula. Ini satu langkah yang baik dan ternyata program ini mula mendapat sambutan masyarakat antarabangsa. Kata beliau ketika ditemui semasa program berkenaan.

   

-TAMAT-

 
 
 
       
       

 
 
Maklumbalas  |  Hubungi Kami  |  Peta Laman  |

� Hakcipta Terpelihara
 Perbadanan Muzium Melaka