|
GALERI MELAKA AKAN
DIBUKA DI MAKASAR
Jalan Kota (28
Disember 2009) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini
memaklumkan bakal memiliki satu lagi galeri apabila pemerintah Kota
Makasar bersetuju untuk memberi tempat bagi pembukaan sebuah galeri
di sana. Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka, Y.Bhg Datuk Wira Haji
Hamdin juga memaklumkan bahawa PERZIM juga telah menyediakan sebuah
tempat bagi pembukaan Galeri Makassar di Melaka.
’Pemerintah Makassar
ternyata berbangga dengan hasrat PERZIM untuk membuka galeri di
sana, yang pastinya hubungan yang sedia terjalin sekian lama antara
Melaka dengan Makassar dapat dijalinkan kembali,’ kata beliau lagi
sebaik ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Makassar.
Datuk Wira Hamdin
mengetuai lawatan kerja Ahli-ahli Lembaga Pengarah PERZIM ke Kota
Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia. Dalam lawatan berkenaan
rombongan PERZIM berkesempatan mengunjungi serta melihat kesan-kesan
sejarah yang terdapat di Makassar antaranya Benteng Rotterdam, Makam
Pahlawan Nasional Pangeran Diponegoro, Masjid Tua Katangka, Rumah
Tradisional Tana Toraja serta beberapa tempat menarik di sana.
Rombongan PERZIM juga melawat Istana Sultan Hassanudin serta diberi
penerangan tentang susur galur serta salasilah keturunan Bugis
Makassar yang mempunyai pertalian erat dengan masyarakat Melayu di
Malaysia. Satu kertas kerja bertajuk Dinamika Orang Bugis –
Perspektif Kemunculan Nasionalisme Indonesia juga telah dibentangkan
oleh Prof. Dr. Ima Kesuma IC, Kepala Museum Kota Makassar dibantu
oleh Prof. Dr. Edward Poelinggomang dan Prof. Dr. Andi Rasyid Asba,
dari Universiti Hasanudin, Makassar.
Kedatangan rombongan
PERZIM juga diraikan oleh Y.th H.M Amin, Sekretaris Daerah Kota
Makassar yang mewakili Walikota Makassar di dalam satu jamuan malam.
Pemerintah Makassar bersetuju dengan hasrat penubuhan Galeri Melaka
di Makassar serta akan memutuskan sebuah tempat yang sesuai untuk
tujuan ini.
H.M Amin melahirkan
kegembiraan dengan hasrat ini yang pastinya akan menguntungkan
kedua-dua pihak. Kota yang terbesar di Sulawesi Selatan dengan
dihuni seramai 1.5 juta orang ini merupakan salah satu lokasi
pelancongan menarik yang terdapat di Indonesia. Diharapkan dengan
pembukaan Galeri Melaka di sana dapat membantu mempromosi serta
menarik pelancong-pelancong untuk berkunjung di Melaka kelak.
Sehingga kini PERZIM telah
membuka Galeri Melaka di Sawa Lunto, Jambi, Pekan Baru, Pelembang,
Acheh serta Tanjung Pinang.
-TAMAT-
PERZIM JALIN KERJASAMA DENGAN MUSEUM LA GALIGO,
PROPINSI SULAWESI SELATAN, INDONESIA
Makassar, Sulawesi
Selatan (26 Disember 2009): Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) kini
melebarkan hubungan kerjasama apabila menjalin hubungan dengan
Museum La Galigo, Propinsi Sulawesi Selatan hari ini. Dalam satu
rangka lawatan kerja Ahli-ahli Lembaga Pengarah PERZIM yang diketuai
oleh Y.Bhg Datuk Wira Haji Hamdin bin Abdollah, Pengerusi Lembaga
Pengarah PERZIM ke Makassar Sulawesi Selatan hari ini ternyata
berjaya apabila pihak muzium Sulawesi selatan melahirkan persetujuan
untuk menjalin hubungan lebih erat dengan PERZIM.
Rombongan PERZIM telah
disambut mesra oleh Drs. Haji Apiaty yang mewakili pemerintah Kota
Makassar, Hj. Rusmayani Madjid, Kepala Dinas Kebudayaan dan
Pariwisata Kota Makassar,Prof. Dr. Andi Ima Kesuma, Kepala Museum
Kota Makassar serta pegawai-pegawai museum La galigo.
Datuk Wira Haji Hamdin
yang dihubungi di Makassar menyifatkan lawatan ini amat berjaya dan
sangat berpuas hati dengan sambutan mesra yang dihulurkan pemerintah
Kota Makassar. Beliau juga menyatakan Galeri Melaka akan dibuka di
propinsi keempat terbesar di indonesia ini. Hubungan lebih erat
juga akan dijalinkan dengan museum Makassar melibatkan pertukaran
kakitangan, penglibatan di dalam seminar dan forum serta kerjasama
di dalam pameran-pameran yang akan diadakan samada di Melaka ataupun
di Makassar.
Kotamadya Makassar
yang mempunyai kira-kira 1.5 juta penduduk ini disifatkan sebagai
satu permulaan baik bagi negeri Melaka umumnya serta PERZIM amnya
kerana mempunyai kesan sejarah yang hampir sama dengan Melaka.
Industri pelancongan
di sini juga berkembang dengan baik kerana kebanyakan warga
Indonesia sering bercuti di sini kerana mempunyai sejarah serta
pantai peranginan yang cantik. Sudah tentu hubungan yang terjalin
ini dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak bagi memajukan lagi
industri pelancongan, tambah beliau lagi.
-TAMAT-
PESTA NUMISMATIK DAN
FILATELI 2009
DI KOMPLEKS MUZIUM
SAMUDERA
Banda Hilir, Melaka:
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menganjurkan Pesta Numismatik dan
Filateli 2009 yang berlangsung pada 19 dan 20 Disember 2009 di
Perkarangan Replika Flor De La Mar.
Pengurus Besar PERZIM,
Haji Khamis bin Haji Abas ketika ditemui memaklumkan pesta kali ini
agak istimewa kerana orang ramai telah berpeluang melihat koleksi
matawang Sarawak tahun 1938, matawang Straits Settlement tahun 1934,
matawang Kapal Layar dan Kerbau tahun 1959.
Selain dari itu juga
turut dipamerkan matawang zaman Belanda, zaman Kesultanan Melayu
Melaka serta juga matawang Peringatan Dunia. Koleksi Setem-setem
dari seluruh dunia juga dipamerkan selain sampul surat lama Malaya
serta juga setem bertema.
Kira-kira 10,000
pelawat telah mengunjungi pameran khas yang diadakan dengan
kerjasama Pos Malaysia dan Persatuan Numismatik Malaysia dan
Persatuan Filateli Malaysia. Apa yang lebih menarik pengunjung juga
berpeluang mempelajari teknik-teknik yang digunakan bagi menyimpan
koleksi agar sentiasa selamat dan terpelihara. Haji Khamis juga
memaklumkan pameran sebegini akan diteruskan lagi pada tahun depan
berdasarkan sambutan hebat yang diterima dari orang ramai.
-TAMAT-
PROGRAM SLEEPOVER AT THE MUSEUM DICALONKAN UNTUK
ANUGERAH INOVASI PELANCONGAN 2009
Jalan Kota : Program
bermalam di muzium yang dilancarkan oleh PERZIM pada awal tahun ini
telah dicalonkan untuk menerima Anugerah Inovasi Pelancongan.
Program anjuran Perbadanan Muzium Melaka , Naza Hotel, Perbadanan
Sungai dan Pantai Negeri Melaka dan TOURISM Malaysia merupakan
satu-satunya yang seumpama di negara ini.
Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Hj. Abas dalam kenyataannya memaklumkan program
berteraskan pendidikan bercorak sejarah ini merupakan antaranya
kaedah yang baik bagi menerapkan penghayatan sejarah di kalangan
orang ramai. Melalui cara ini membolehkan kita merasai sendiri
betapa perlunya sejarah bukan sahaja dikenang malah dihayati bagi
membolehkan proses pembentukan sahsiah diri terlaksana dengan
lancar.
’Selama ini artifak
muzium hanya untuk dipamerkan sahaja tetapi kini orang ramai
berpeluang merasai suasana bermalam di dalam muzium bersama
artifak-artifak bernilai yang berusia ratusan tahun’. Katanya lagi.
Program ini yang
ternyata mendapat sambutan yang baik dari orang ramai diharapkan
mampu menjadi tarikan baru untuk industri pelancongan di negeri ini.
Lebih menarik apabila pengisian program ini bukan sekadar bermalam
di muzium sahaja. Peserta program terlebih dahulu akan menyusuri
Sungai Melaka menaiki bot yang merupakan nadi utama Melaka suatu
ketika dulu. Sejarah yang terlakar lebih 600 tahun dahulu dijejaki
dengan diberi penerangan selengkapnya. Peserta kemudiannya dibawa
melawat sekitar Bandaraya Warisan Dunia serta berpeluang menyaksikan
keindahan Melaka di waktu malam. Sebelum bermalam di Replika Kapal
Flor De La Mar, peserta juga berpeluang menyertai beberapa aktiviti
bagi menjadikan program ini berkesan dan berjaya melahirkan semangat
mencintai warisan sejarah yang begitu tinggi nilainya ini.
Dalam pada itu,
beberapa panel juri yang diketuai oleh Y.Bhg Dato’ Dr. Victor Wee,
Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (TOURISM
Malaysia) hadir untuk membuat penilaian ke atas produk sleepover.
Beliau yang turut disertai oleh En. Mohd Razif Hassan, Pengarah
Bahagian Pengurusan TOURISM Malaysia, En. Poon Ah Chai serta En.
Ahmad Yahaya, Pengarah TOURISM Malaysia Melaka nyata berpuas hati
dengan produk sleepover yang dianjurkan PERZIM. Keistimewaan ketara
yang ditonjolkan di sini amat berbeza dengan program sleepover yang
terdapat di luar negara. Peluang menghayati sejarah silam yang
terdapat di Bandaraya Warisan Dunia serta pengalaman menyusuri
Sungai Melaka dengan bot merupakan satu pakej pelancongan lengkap
yang menarik dan kreatif.
-TAMAT-
Permainan Tradisional Jadi Tarikan di Istana Kesultanan Melaka
Bersempena dengan
cuti persekolahan yang sudahpun bermula, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)
berusaha menambahkan lagi tarikan kepada muzium-muzium di bawah
pentadbirannya dengan mengadakan pelbagai aktiviti untuk dikongsi
bersama dengan para pelawat yang berkunjung.
Bersesuaian dengan konsep dan ruang istana yang mempamerkan
ciri-ciri kehidupan masyarakat Melayu, para pelawat dipelawa
bersantai di atas hamparan tikar mengkuang yang dihidangkan dengan
pelbagai permainan tradisional seperti batu seremban, congkak dan
juga dam aji. Aktiviti permainan tradisional rakyat telah diadakan
di Muzium Istana Kesultanan Melaka mulai dari pada 23 November 2009
yang lalu dan telah mendapat sambutan yang baik di kalangan pelawat.
Kakitangan muzium juga tidak lokek mendemonstrasikan permainan
tradisonal tersebut dan tidak kurang juga para pengunjung asing yang
bertanya dengan lebih lanjut mengenai cara permainan dimainkan.
Tidak kurang juga dengan keberanian mereka yang menunjukkan
kehebatan dengan bertanding sesama sendiri memainkan permainan
tradisi tersebut.
Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas memberitahu
kesempatan
ini diambil memandangkan sepanjang cuti inilah lebih ramai ibu bapa
berkesempatan membawa anak-anak mereka bercuti ke destinasi
pelancongan yang diminati termasuklah pelajar-pelajar yang menyertai
lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh sekolah-sekolah di
seluruh negara ke muzium-muzium di Melaka. Secara tidak langsung
aspek warisan tidak nyata mengenai budaya permainan tradisonal nenek
moyang kita dahulu dapat dipertontonkan dan diberi pendedahan kepada
generasi muda khususnya.
Menurut Mr. Stevan Smith (54) dari Quensland, Australia yang ditemui
menyatakan kegembiraan kerana berpeluang untuk mengenali permainan
rakyat masyarakat tempatan di sini.
‘Ini sangat bagus serta wajar dihebahkan kepada orang ramai. Sesuatu
yang sangat menarik apabila kunjungan ke muzium untuk mengetahui
sejarah Kerajaan
Kesultanan Melayu Melaka dan dalam masa yang sama kita didedahkan
dengan permainan rakyat yang diamalkan di sini’, kata beliau yang
seronok mempelajari teknik permainan congkak.
-TAMAT-
KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN PERZIM PERTINGKAT KEBAJIKAN
AHLI
Kg. Bukit Senggeh, Selandar, Melaka (2 November 2009): Kelab Sukan
dan Kebajikan PERZIM (KSK PERZIM) hari ini menganjurkan satu lawatan
ke rumah En. Dollah bin Sharip (76) yang merupakan ayahanda kepada
salah seorang kakitangan PERZIM, En. Rohaidi.
Antara tujuan kunjungan ini bagi melahirkan simpati serta berkongsi
atas penderitaan yang ditanggung pakcik Dollah yang menghidap kanser
paru-paru. Rombongan berkenaan sempat mengadakan bacaan Yassin serta
mendoakan kesejahteraan ke atas pakcik Dollah serta seluruh ahli
keluarganya.
Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas mengucapkan
takziah atas penderitaan yang dihidapinya.
’Kami seluruh warga PERZIM juga melahirkan simpati serta berharap
agar beliau sekeluarga tabah serta bersabar menerima dugaan dan
ujian dari Allah’, katanya lagi ketika dihubungi di pejabatnya.
Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM juga sebelum ini pernah
menganjurkan kutipan kilat bagi membantu meringankan bebanan yang
terpaksa ditanggung oleh beliau sekeluarga. Sumbangan telah
disampaikan oleh Y.Bhg Datuk Wira Haji Hamdin bin Abdollah,
Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka dalam satu
majlis yang diadakan bulan lalu.
-TAMAT-
PESERTA PROGRAM KEMBARA CUTI-CUTI 1 MALAYSIA
SERTAI SLEEPOVER AT THE MUSEUM
Kompleks Muzium Maritim (19 November 2009):
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini menganjurkan sekali lagi
sleepover@the museum. Program yang semakin mendapat tempat di
kalangan orang ramai dianjurkan bersama oleh PERZIM dan Naza Talyya
Hotel dengan kerjasama TOURISM Malaysia serta Perbadanan Pembangunan
Sungai dan Pantai Melaka. Kali ini sejumlah 60 orang peserta program
Kembara Cuti-cuti 1 Malaysia anjuran Bahagian Promosi Pelancongan,
Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama TOURISM Malaysia serta
GAYA Travel menyertai program ini. Peserta program terdiri dari
wakil media cetak serta elektronik membabitkan pelbagai media
tempatan termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Sebelum bermalam di Replika Flor De La Mar, peserta
dibawa menyusuri Sungai Melaka menggunakan 2 buah bot sambil diberi
penerangan tentang sejarah dan pembangunan yang terdapat di
sepanjang Sungai Melaka. Mereka kemudiannya turun di Jeti Quayside
sebelum menyertai dialog bersama YAB Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd
Rustam, Ketua Menteri Melaka yang diadakan di Quayside Restoran.
Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas
di dalam kenyataannya mengalu-alukan kedatangan rombongan ini
sambil menyifatkan ianya sangat berkesan bagi mempromosikan produk
pelancongan yang menarik ini. Beliau mengharapkan agar pengalaman
bermalam di dalam muzium yang dirasai oleh peserta dapat dijadikan
satu pakej pelancongan untuk dipasarkan oleh agensi-agensi
pelancongan yang terlibat. Dengan adanya pakej bermalam di muzium
yang boleh dijual oleh agensi pelancongan ini akan menjadikan negeri
Melaka satu destinasi percutian unggul yang mampu memenuhi citarasa
pelancong.
Program kali ini turut menarik perhatian apabila Tuan
Haji Khamis juga turut menyertai sambil ditemani sahabat beliau, Mr.
Gerard Van Den Oetelaar, seorang pelukis tersohor dari Belanda yang
sering berkunjung ke Bandaraya ini. Mr. Gerard yang pernah
mengadakan pameran lukisan solonya di Balai Seni Lukis Melaka ketika
ditemui menyatakan kekaguman ke atas penganjuran program sleepover.
’Pakej bermalam di muzium yang dilaksanakan di sini
sangat menarik dan berbeza seperti yang pernah dijalankan di Eropah.
Ini kerana pengisian program dipenuhi dengan pengalaman menyusuri
Sungai Melaka sambil peserta di bawa mengimbas kembali sejarah yang
terjadi di sepanjang Sungai ini. Kesan-kesan sejarah jelas terpapar
pada tinggalan bangunan. Saya sangat teruja menyaksikan keindahan
Sungai Melaka di waktu malam’, katanya lagi sambil menyifatkan
Bandaraya Melaka antara lokasi pelancongan yang paling menarik
pernah dikunjunginya.
Dalam satu majlis ringkas yang diadakan di pelantar
pemerhatian Replika Flor De La Mar, Haji Khamis turut menerima
cenderamata yang disampaikan oleh Gaya Travel sambil diiringi oleh
En. Syed Ahmad Yahaya, Pengarah TOURISM Malaysia Melaka serta En.
Abu Hassan bin Ismail, Pengurus Naza Talyya Hotel Melaka.
-TAMAT-
Permainan Tradisional Rakyat sebagai Warisan Tidak
Nyata ceriakan Program Merakyatkan Seni Semarak Warisan Seni &
Sepakat Bestari
Dataran Keris,
Alor Gajah (14 dan 15 November 2009) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)
sekali lagi diberikan peluang memperkenalkan sejenis lagi warisan
kebudayaan yang dikenali sebagai warisan tidak ketara kepada
masyarakat umum. Melalui kerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan
Kesenian Negara Negeri Melaka serta Jabatan Penerangan Negeri Melaka,
PERZIM turut menyumbangkan tenaga dalam menjayakan Program Semarak
Warisan Seni dan Sepakat Bestari yang diadakan di Dataran Keris Alor
Gajah, Melaka pada 14 dan 15 November 2009 dengan mengadakan
aktiviti yang berteraskan permainan tradisional dan juga masakan
warisan kepada masyarakat umum.
Pelbagai acara
yang berteraskan warisan tidak nyata telah diaturkan untuk
penglibatan orang ramai dan antara yang mencuri tumpuan adalah
Pameran Permainal Tradisional Rakyat yang diadakan di Muzium Adat
Istiadat, Alor Gajah. Melalui pameran tersebut generasi muda
khususnya telah diperkenalkan dengan pelbagai jenis permainan
tradisional rakyat yang diperbuat daripada tumbuhan dan
barang-barang terpakai seperti tempurung kelapa, tin susu, penutup
botol, getah, buluh, kayu, upeh pinang dan sebagainya.
Permainan
Tradisional juga dikenali sebagai Permainan Rakyat. Permainan
Tradisional juga merujuk kepada permainan budaya yang sudah
diamalkan oleh sesuatu masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu..
Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi
tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja.
Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga
hari ini. Di antara permainan itu termasuklah Main Guli, Senapang
Kayu, Congkak, Batu Seremban, Sepak Raga, Baling Getah, Capteh,
Gasing, Main Getah,Gasing, Ketinting, Dam Aji. Permainan tradisi
yang diperbuat daripada bahan-bahan terbuang turut dipertontonkan
kepada umum seperti Bedil Buluh, Baling Tin, Lompat Getah, Kumbang
Dengung, Kaki Gajah ( diperbuat daripada tempurung kelapa), Rim
Basikal, Ceper ( Tudung Oren), Gesek Buah Getah
Orang ramai yang
berkunjung ke tapak program turut berpeluang untuk bersama-sama
mempraktikkan cara permainan tradisi tersebut seterusnya menyertai
pertandingan permainan yang diadakan. Antara permainan yang
dipertandingkan adalah congkak, Dam Aji, Batu Seremban, baling getah,
Galah Panjang, Ketinting, Capteh dan Sepak Raga Bulatan.
Seramai 150 orang
peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak ,
pelajar sekolah dan golongan dewasa dari pelbagai sekolah dan
DUN-DUN di daerah Alor Gajah telah menyertai acara yang
dipertandingkan. Pelbagai aksi menarik dan lucu sempat dirakamkan
sewaktu pertandingan permainan berlangsung. Melalui pameran dan
program demosntrasi serta pertandingan yang diadakan, kebanyakan
kanak-kanak yang datang menyaksikan pameran menyatakan bahawa mereka
tidak pernah mengenali permainan-permainan seperti yang dilihat hari
ini.
Pihak PERZIM juga
amat bertuah kerana terdapat juga golongan veteran dan warga-warga
emas yang turut sudi berkongsi pengalaman menceritakan zaman kecil
mereka yang sememangnya sudah sebati dengan permainan-permainan yang
dipamerkan pada hari ini. Tidak kurang juga ada yang turut
bersama-sama menunjukkan kepada golongan muda bagaimana caranya
alat-alat permainan seperti konda kondi, telefon tin, bedil buluh,
rim basikal dan lastik dimainkan. . Hadiah-hadiah untuk acara
pertandingan permainan tradisional telah disampaikan YB Datuk
Latifah Bte Omar, ADUN Kawasan Taboh Naning.
Selain daripada
aktiviti permainan, PERZIM juga telah mengadakan acara demonstrasi
masakan pelbagai etnik yang ada di Melaka sebagai pendedahan kepada
masyarakat di daerah Alor Gajah mengenai masakan tradisi rakyat
Melaka. Masyarakat Melayu telah mendemonstrasikan cara masakan kuih
buah Melaka dan Abok-abok, Masyarakat Baba Nyonya dengan masakan
Apam Balik dan Bubu Cha Cha, Masyarakat Cina dengan masakan Kuih
Masyarakat India dengan Kesari dan Vadai, Masyarakat Portugis dengan
masakan Kari Dabel dan Pangsusih, serta masyarakat Chetti dengan
Kuih Tepong Gomak dan Roti Jala. Secara tidak langsung melaluinya
masyarakat di daerah Alor Gajah turut diberikan pengetahuan mengenai
masakan sebagai salah satu daripada unsur warisan tidak nyata yang
mewakili cara hidup serta kebudayaan masyarakat berbilang kaum di
Melaka.
Pengurus Besar
PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas ketika ditemui melahirkan
kebanggaan apabila melihat acara yang dilangsungkan ini telah
mendapat sambutan yang memberangsangkan dari masyarakat. Beliau juga
melahirkan harapan agar semua warisan yang dimiliki ini terus
dipertahankan dan menjadi amalan yang terus dipraktikkan oleh
masyarakat. Adalah menjadi satu kehilangan yang besar buat
masyarakat dan negara sekiranya masakan serta permainan tradisional
yang cukup popular suatu ketika dahulu berkubur dan menjadi
sebahagian dari sejarah.
-TAMAT-
PERBADANAN MUZIUM MELAKA BERSEDIA UNTUK MEMBUKA
PAMERAN TORTURA 2
Jalan Kota, Melaka (11
November 2009): Perbadanan Muzium Melaka kini telah pun bersedia
untuk membuka pameran TORTURA 2 yang kini dalam persiapan terakhir
sebelum dibuka kepada orang ramai bermula 13 November 2009.
Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Haji Abas dalam kenyataan akhbarnya menyatakan
semua artifak dan barang-barang pameran telah pun sampai dari
Medieval Criminal Museum, San Gimignano, Itali. Kami kini sedang
dalam peringkat akhir bagi memastikan pameran ini berjaya mencuri
tumpuan orang ramai serta pelancong-pelancong yang berkunjung ke
Bandaraya ini.
Pameran ini sangat
menarik kerana kita berpeluang menyaksikan sendiri artifak-artifak
yang dibawa khas dari Eropah. Kita mengharapkan agar dengan pameran
sebegini memberi kesan kepada masyarakat betapa pentingnya agar
keamanan sediada yang dinikmati dikekal dan dipertahankan. Sejarah
telah menyaksikan bagaimana rakyat terpaksa menderita apabila
berdepan dengan kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan. Dengan
pameran ini juga kita boleh menyimpulkan betapa penyeksaan dan
kezaliman dijalankan oleh negara-negara barat bagi memastikan mereka
membina tamadun yang berjaya, katanya ketika ditemui dalam satu
majlis menyampaikan cenderamata kepada Puan Anna Molina Perez,
pemilik pameran yang berasal dari Itali.
Pameran TORTURA 2 akan
mula dibuka kepada orang ramai bermula 13 November 2009 ini bermula
jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang setiap hari. Tiket-tiket berharga
RM 10.00 untuk dewasa serta RM 5.00 untuk kanak-kanak boleh didapati
dikaunter pameran di Bastion House, Jalan Kota, Melaka.
-TAMAT-
PERZIM MERAIKAN PENGUNJUNG KE 500,000
Banda
Hilir, Melaka (16 Jun 2009) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari
ini mengadakan satu majlis ringkas meraikan pengunjung ke 500,000
bertempat di Kompleks Muzium Samudera.
Pengurus Besar PERZIM, Haji Khamis bin
Haji Abas dalam kenyataannya hari ini memaklumkan majlis ini
diadakan bagi menghargai serta berterima kasih kepada
pengunjung-pengunjung yang telah menjadikan muzium-muzium di Melaka
sebagai satu destinasi pilihan yang wajib ketika berkunjung ke
Bandaraya ini. Jumlah pengunjung yang telah mengunjungi kesemua 21
muzium pada tahun ini telah mencapai angka ke 500,000 orang. Beliau
juga berharap agar angka ini akan terus meningkat serta melepasi
sasaran PERZIM iaitu seramai 640,000 bagi tahun ini.
Peningkatan ini adalah
hasil usaha berterusan yang telah dijalankan oleh PERZIM bagi
menjadikan muzium sebagai destinasi pelancongan popular yang mesti
dikunjungi oleh pengunjung. PERZIM juga merasa bertuah dengan usaha
yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan yang berjaya
menarik pengunjung bagi mengunjungi negeri bersejarah ini. PERZIM
akan terus bekerjasama dengan semua agensi kerajaan yang berkaitan
serta semua produk-produk pelancongan yang terdapat di Melaka bagi
menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan unggul yang mesti
dikunjungi di Malaysia.
Pada majlis itu
seorang pengunjung, Khasbullah bin Ahmad (60) dari Jambatan
Sanglang, Air Baloi, Pontian, Johor bertuah apabila diumumkan
sebagai pengunjung ke 500,000 bagi tahun 2009 ini. Beliau
kelihatan terpinga-pinga dan terkejut selepas dimaklumkan beliau
pengunjung bertuah ke 500,000. Beliau menerima cenderahati dari
Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas berupa hamper,
sijil serta buku-buku terbitan PERZIM. Lebih menarik lagi apabila
beliau turut menerima pas lawatan percuma untuk mengunjungi semua
muzium di Melaka.
Beliau di dalam
perjalanan pulang dari Shah Alam, Selangor kerana menghadiri Pesta
Konvokesyen anak perempuan beliau di UiTM memutuskan untuk singgah
serta melawat destinasi percutian menarik di Bandaraya ini. Beliau
mengucapkan terima kasih serta bersyukur dan tidak menyangka beliau
merupakan pengunjung muzium yang bertuah pada tahun ini.
Saya tertarik melihat
replika kapal Flor De La Mar dan memutuskan untuk singgah bersama
keluarga di muzium ini. Sepanjang beberapa kali mengunjungi muzium
ini, saya tidak menyangka ini merupakan detik paling manis saya.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengurus Besar PERZIM yang
turut meraikan kehadiran saya hari ini. Katanya lagi.
-TAMAT-
PERZIM SERTAI TRAVEL MALAYSIA FAIR 2009 DI SINGAPURA
Banda Hilir, Melaka
(11 Jun 2009) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memperhebatkan
promosi ke muzium apabila turut serta menyertai Travel Malaysia Fair
2009 yang diadakan di Suntec City, Singapura.
Menurut Haji Khamis
bin Haji Abas, Pengurus Besar PERZIM, promosi kali ini adalah
dikendalikan oleh Tourism Malaysia dan telah diadakan pada 16-18
Oktober 2009. Pelancong-pelancong dari Singapura merupakan pelancong
asing yang paling ramai melawat ke muzium. Sewajarnya promosi yang
dijalankan oleh Tourism ini sangat bertepatan dan semestinya
merupakan satu langkah yang baik untuk menjadikan muzium-muzium di
Melaka popular di kalangan warga Singapura. Sekiranya dilihat dari
statistik, pelancong Singapura melawat ke Malaysia melebihi jumlah
keseluruhan warga Singapura sendiri. Mereka mengunjungi Malaysia
berkali-kali dalam masa setahun, seharusnya peluang ini digunakan
agar mereka tertarik untuk menjadikan Melaka amnya dan PERZIM
khasnya sebagai pilihan utama untuk melancong ke Malaysia.
Menerusi promosi ini
juga, PERZIM mengambil peluang mempromosikan tiket konsesi yang kini
semakin mendapat sambutan. Maklumbalas yang diterima dari pelancong
sangat memberangsangkan dan mereka juga turut memuji langkah PERZIM
menjual tiket secara konsesi yang ternyata memberi nilai yang
menguntungkan kepada pelancong.
Haji Khamis juga
mengucapkan terima kasih kepada TOURISM Malaysia yang menawarkan
tempat kepada PERZIM dalam acara inidan berharap agar PERZIM akan
sentiasa diberi peluang untuk mengikuti promosi-promosi anjuran
mereka seterusnya.
-TAMAT-
PERBADANAN MUZIUM MELAKA LANCAR TIKET KONSESI
Jalan
Kota, Melaka (14 Oktober 2009): Perbadanan Muzium Melaka menawarkan
pilihan menarik apabila melancarkan tiket konsesi yang menjadikan
kunjungan pelancong lebih bermakna.
Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Haji Abas dalam kenyataan akhbarnya menyatakan
bagi memperkasa industri pelancongan di negeri ini, PERZIM
menawarkan tiket konsesi yang boleh didapati dengan harga RM 3.00
untuk kanak-kanak dan pelajar manakala RM 10.00 untuk dewasa. Dengan
menggunakan tiket konsesi ini pelancong boleh mengunjungi 9 buah
muzium serta 3 buah galeri pada harga yang sangat berpatutan.
Antara muzium-muzium
yang boleh dikunjungi ialah Muzium Istana Kesultanan Melaka, Muzium
Samudera Fasa I (Replika Flor De La Mar), Muzium Samudera Fasa II,
Muzium Tentera Laut Di Raja Malaysia(TLDM), Muzium Sejarah dan
Etnografi, Muzium Sastera, Muzium Pendidikan Melaka, Muzium
Pemerintahan Demokrasi dan Muzium Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Selain itu pegunjung juga berpeluang mengunjungi Galeri Laksamana
Cheng Ho dan dua buah galeri yang terletak di Bukit Peringgit iaitu
Galeri Ketua Menteri Melaka dan Galeri Melaka.
Lebih menarik lagi
kesemua muzium dan galeri ini boleh dikunjungi dalam masa dua hari.
Pengunjung boleh membeli tiket-tiket ini di kaunter semua muzium
yang dinyatakan. Haji Khamis menjelaskan tujuan pelancaran tiket ini
bagi memberi pulangan serta penjimatan istimewa kepada semua
pengunjung sebagai menghargai lawatan mereka ke Bandaraya Warisan
Dunia ini. Semestinya bagi menjadikan kunjungan yang bermakna
seharusnya mereka mengunjungi muzium-muzium yang unik serta menarik
untuk dilawati. Kunjungan ke Bandaraya ini seakan tidak lengkap
sekiranya pengunjung tidak mengunjungi dan melawat muzium-muzium
yang terdapat di sini.
-TAMAT-
SLEEPOVER AT THE MUSEUM - 10 OKTOBER 2009

Banda Hilir, Melaka :
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sekali lagi menganjurkan program
Sleepover @ the Museum yang kini mendapat sambutan yang sangat baik
di kalangan para pelancong. Pengurus Besar PERZIM, Haji Khamis bin
Haji Abas dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa program
kali ini disertai seramai 30 orang peserta dari yang kebanyakkannya
berkhidmat dengan Petronas.
Program ini dimulakan
dengan taklimat acara yang disampaikan di Naza Hotel bermula pada
jam 7.00 petang sebelum peserta bertolak ke Taman Rempah untuk
menyusuri Sungai Melaka dengan bot. Peserta kemudiannya diberi
penerangan tentang pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan
Negeri Melaka di Sungai Melaka. Peserta juga berpeluang menyaksikan
keindahan Sungai Melaka di waktu malam yang dihiasi dengan kilauan
lampu yang menarik.
Peserta kemudiannya
turun di Padang Nyiru seterusnya menyusuri Sungai Melaka dengan
berjalan kaki untuk melihat tinggalan sejarah yang terdapat di
sepanjang Sungai Melaka. Antara kesan tinggalan sejarah termasuklah
Victoria Fountain, Kompleks Stadhuys, tinggalan kota Bastion
Middlesbrough sehinggalah peserta kemudiannya sampai dan bermalam di
Muzium samudera Fasa I (Replika Kapal Flor De La Mar)
Haji Khamis juga
menasihatkan orang ramai yang ingin menyertai aktiviti ini agar
membuat tempahan awal melalui no telefon 06-2882288 (En. Abu Hassan)
atau 06-2826526 (En. Nurman).
-TAMAT-

-TAMAT-
PENUTUPAN MUZIUM SEMPENA 1 SYAWAL
Jalan Kota, Melaka (14
September 2009): Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan
disambut pada 20 September 2009 (Ahad) ini, kesemua muzium-muzium di
bawah kendalian Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) akan ditutup
selama satu hari.
Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Haji Abas memaklumkan ketika kenyataan
akhbarnya berkata telah menjadi kebiasaan muzium-muzium di Melaka
ditutup pada 1 Syawal. Selain dari meraikan kedatangan hari raya,
sambutan pengunjung pada hari berkenaan juga sangat kurang.
'Semua muzium kami
akan beroperasi seperti biasa pada hari raya kedua yang dijangka
pada 21 September 2009 (Isnin). Saya juga mengambil kesempatan ini
bagi mengucapkan selamat hari raya kepada seluruh umat Islam di
negeri ini. Saya berharap kesempatan bercuti panjang pada sambutan
kali ini digunakan dengan mengunjungi muzium yang sememangnya
menjanjikan pengalaman dan pengetahuan yang tidak ternilai
harganya', katanya lagi.
-TAMAT-
KELAB SUKAN DAN
KEBAJIKAN PERZIM ANJUR PROGRAM
TADARUS AL-QURAN & MAJLIS KHATAM
AL-QURAN
Banda Hilir, Melaka
(21 Ogos 2009) : Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM hari ini
menganjurkan majlis Tadarus dan Khatam Quran sempena sambutan Bulan
Ramadhan Al-Mubarak. Majlis ini berlangsung dalam suasana yang penuh
keberkatan di Muzium Al-Quran, Kompleks Al-Azim, Bukit Palah dengan
diketuai oleh Imam 1 Masjid Al-Azim.
Majlis yang disertai
oleh sebilangan besar kakitangan PERZIM ini diserikan dengan
kehadiran beberapa orang ahli Lembaga Pengarah PERZIM antaranya YB
Pegawai Kewangan Negeri Melaka, En. Meor Hashim bin Abd. Hamid serta
Tuan Haji Sani bin Jantan.
Pengurus Besar PERZIM,
Haji Khamis bin Haji Abas ketika ditemui meluahkan kesyukuran kerana
aktiviti tadarus yang dimulakan pada awal Ramadhan berjaya
diselesaikan dengan sempurna oleh kakitangan PERZIM. Beliau
melahirkan kebanggaan kerana sebilangan besar warga PERZIM terlibat
menjayakan program ini. Beliau juga mengharapkan agar program
kerohanian sebegini yang menjadi aktiviti tahunan setiap kali
Ramadhan disertai lebih ramai kakitangan.
Dalam majlis berkenaan
juga Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM menyampaikan cenderamata
kepada semua kakitangan yang menyertai program ini.
-TAMAT-
KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN PERZIM AGIH BUBUR LAMBUK
Jalan Kota, Melaka (11
September 2009): Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM (KSK PERZIM) hari
ini menganjurkan Gotong Royong memasak bubur lambuk sempena bulan
Ramadhan Al Mubarak. Program yang diuruskan oleh KSK PERZIM ini
telah mendapat bantuan dari Jawatankuasa Masjid Kampung Hulu yang
merupakan antara pakar memasak bubuk lambuk di sini.
Pengerusi Kelab Sukan
dan Kebajikan PERZIM, En. Nurman bin Mohd Baroldin ketika ditemui
memaklumkan bahawa program ini merupakan satu tradisi yang menjadi
kemestian bagi warga PERZIM setiap kali Ramadhan. Selain
mengeratkan hubungan antara kakitangan, ianya juga bagi menghargai
sumbangan warga PERZIM yang berusaha keras menjadikan PERZIM sebagai
peneraju utama industri pelancongan di Bandaraya ini.
Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Haji Abas juga memaklumkan bubuk lambuk yang
dimasak ini diagihkan di kalangan kakitangan PERZIM serta kepada
sebahagian orang ramai yang berkunjung ke muzium.
’Saya amat berbangga
dengan semangat yang ditunjukkan kakitangan PERZIM. Program
kebajikan sebegini amat wajar diadakan lebih-lebih lagi ketika semua
umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di bulan yang mulia ini.
Keseimbangan program sebegini amat perlu bagi memantapkan PERZIM
sebagai institusi pemuziuman yang terbaik di Malaysia.’, katanya
ketika ditemui selepas selesai mengagihkan bubur berkenaan di
kalangan warga PERZIM.
-TAMAT-
PERZIM ANJUR BENGKEL SENI KALIGRAFI CINA
Balai Seni Lukis
Melaka, Melaka (15 Ogos 2009) : Perbadanan Muzium Melaka
(PERZIM) baru-baru ini menganjurkan Bengkel Seni Kaligrafi Cina.
Bengkel sehari anjuran bersama Dewan Perhimpunan Cina ini dianjurkan
sebagai memenuhi salah satu program Warisan Tidak Nyata (Intangible
Heritage) ini telah diadakan di balai Seni Lukis Melaka serta
dikendalikan oleh pakar kaligrafi yang terkenal, En. Foo Yong
Check.
Menurut Pengurus Besar
PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas dalam kenyataannya hari ini
memaklumkan Seni Kaligrafi Tulisan Cina ini merupakan antara warisan
yang telah dikenalpasti sebagai identiti dan unsur-unsur yang
mendukung pencalonan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia.
Penganjuran bengkel sebegini amat wajar lebih-lebih lagi setelah
mendapati seni kaligrafi ini semakin kurang mendapat tempat
terutamanya di kalangan generasi muda masa kini.
Sejajar dengan objektif PERZIM dalam
mengembang dan menyebarkan ilmu pengetahuan , maka bengkel ini
dianjurkan bagi membolehkan peserta mengasah bakat dan mempelajari
bagaimana rahsia menghasilkan tulisan kaligrafi cina dengan
teknik-teknik penghasilannya yang tersendiri.
Adalah menjadi harapan
PERZIM dengan penganjuran bengkel ini, kesedaran yang ada disanubari
peserta dapat digunakan untuk memartabatkan lagi warisan seni
tempatan yang menjadi teras kepada pemuliharaan warisan dan
kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Melaka.
-TAMAT-
KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN PERZIM ANJUR
PERLAWANAN BOWLING TERTUTUP PERZIM
Ampang Bowl, Mahkota
Parade (12 Ogos 2009): Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM (KSK PERZIM)
hari ini mengadakan perlawanan Bowling Tertutup PERZIM yang diadakan
di Ampang Bowl, Mahkota Parade. Seramai 65 orang peserta yang
terdiri dari pegawai serta kakitangan bertarung merebut kejuaraan
yang dipertandingkan.
Bagi kategori Kuartet
Lelaki Terbaik telah dimenangi oleh B.H Ahmad Sabri, Tun Mutahir,
S.Zainal Abidin dan Mansor. Manakala bagi Kuartet Perempuan terbaik
pula telah dimenangi oleh Aishah, Syahidah, Farah Waheeda dan Nur
Amira. Bagi jatuhan pin terbanyak pula telah dimenangi oleh B.H
Ahmad Sabri bin Epit dengan jatuhan sebanyak 330 jatuhan pin, tempat
kedua pula oleh Cik Siti Aisah bte Md. Sani dengan jatuhan sebanyak
314 jatuhan pin. Lebih menarik lagi apabila Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Haji Abas berjaya menggondol tempat ketiga
dengan 283 jatuhan pin. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Y.Bhg
Datuk Haji Abdul Aziz bin Haji Ghani, Timbalan Pengerusi Lembaga
Pengarah PERZIM.
Pengerusi Kelab Sukan
dan Kebajikan PERZIM, En. Nurman bin Mohd Baroldin ketika ditemui
selepas pertandingan berkata antara objektif utama penganjuran
pertandingan ini adalah bagi memupuk semangat setiakawan dan
persefahaman yang lebih erat di kalangan warga PERZIM. Tugas dan
peranan yang dimainkan PERZIM untuk mengungguli industri pelancongan
di negeri ini memerlukan semangat dan komitmen padu dari seluruh
warga PERZIM. Dengan adanya pertandingan seperti ini diharap mampu
untuk meredakan bebanan kerja yang semakin mencabar. Hubungan akrab
yang terjalin juga diharap mampu diadaptasi semasa menjalankan tugas
bagi memastikan PERZIM sentiasa bersedia untuk mencorak industri
pelancongan di Melaka.
-TAMAT-
PERZIM TERIMA ROMBONGAN DARI PERBADANAN WARISAN DAN
BUDAYA NEGERI SELANGOR
Jalan Kota, Melaka
(7 Ogos 2009): Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini menerima
kunjungan lawatan dari Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri
Selangor yang dulunya dikenali Lembaga Muzium Selangor.
Seramai 8 pegawai
dari PAMWNS yang diketuai oleh Pemangku Pengarahnya, En. Mohd Lotfi
bin Nazar telah disambut oleh Kurator Pengurusan dan Sumber Manusia
PERZIM, Drs. Mohd Nasruddin bin Abdul Rahman serta pegawai PERZIM
lainnya.
Rombongan ini
kemudiannya telah diberikan taklimat berhubung dengan perkembangan
serta aktiviti PERZIM. Rombongan ini kemudiannya dibawa melawat ke
muzium Sejarah dan Etnografi serta Muzium Istana Kesultanan Melaka.
En. Mohd Lotfi
dalam ucapan balasnya melahirkan kekaguman tentang perkembangan
pesat yang dijalankan PERZIM dalam usaha memartabatkan warisan
sejarah di Negeri Melaka. Beliau turut mengakui bahawa Lembaga
Muzium Selangor ketinggalan agak jauh di belakang PERZIM.
'Satu ketika dulu
kita merupakan antara muzium yang terbaik di Malaysia tetapi kini
setelah hampir sepuluh tahun saya berasa sangat kerdil melihat
kemajuan yang dilaksanakan PERZIM sekarang. Saya akui bahawa PERZIM
merupakan institusi pemuziuman terbaik di Malaysia,' kata beliau
ketika ditemui selepas lawatan tersebut.
Sementara itu
Pengurus Besar PERZIM ketika diminta mengulas mengalu-alukan lawatan
berkenaan sambil berterima kasih apabila mereka menjadikan PERZIM
sebagai rujukan dan contoh di dalam pembangunan muzium.
'Saya sangat
berbesar hati dengan pengiktirafan ini. Insya Allah kami akan terus
menjadikan PERZIM sebagai yang terbaik untuk terus mengungguli
industri pelancongan di negeri bertuah ini.
-TAMAT-
WARGA VISTA LASER EYE
CENTRE
SERTAI PROGRAM
SLEEPOVER AT THE MUSEUM
2 Ogos 2009, Banda
Hilir, Melaka : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini
menganjurkan program ’Sleepover @ the Museum’ yang telah diadakan
pada 2 – 3 Ogos 2009. Pengurus Besar PERZIM, Haji Khamis bin Haji
Abas dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa program kali ini
telah disertai oleh seramai 20 orang pegawai serta kakitangan dari
Vista Laser Eye Centre Sdn. Bhd. Dari Cawangan Johor Bahru.
Program ini dimulakan
dengan taklimat acara yang disampaikan di Naza Hotel bermula pada
jam 7.00 petang sebelum peserta bertolak ke Taman Rempah untuk
menyusuri Sungai Melaka dengan bot. Peserta kemudiannya diberi
penerangan tentang pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan
Negeri Melaka di Sungai Melaka. Peserta juga berpeluang menyaksikan
keindahan Sungai Melaka di waktu malam yang dihiasi dengan kilauan
lampu yang menarik.
Peserta kemudiannya
turun di Padang Nyiru seterusnya menyusuri Sungai Melaka dengan
berjalan kaki untuk melihat tinggalan sejarah yang terdapat di
sepanjang Sungai Melaka sehinggalah peserta kemudiannya sampai dan
bermalam di Muzium samudera Fasa I (Replika Kapal Flor De La Mar)
Haji Khamis bin Haji
Abas juga menyatakan kebanggaannya apabila produk pelancongan ini
mula mendapat tempat di kalangan masyarakat terutamanya sektor
swasta. Beliau seterusnya menyeru kepada mana-mana syarikat yang
berminat untuk turut serta menyertai program ini bagi melahirkan
masyarat Malaysia yang menghargai serta menghayati sejarah. Amat
wajar bagi semua rakyat Malaysia didedahkan dengan warisan sejarah
yang dimiliki negara bagi melahirkan generasi yang dinamik serta
menghargai sejarah.
Menurut salah seorang
peserta yang ditemui, En. Bernard Chan, Ketua Pemasaran Wilayah
selatan menyatakan kegembiraan apabila berpeluang merasai pengalaman
bermalam bersama artifak berusia ratusan tahun di muzium. Pengalaman
ini merupakan satu pengalaman yang sangat bernilai dalam hidup saya.
Saya juga akan menyertai program ini bersama keluarga satu hari
nanti.
-TAMAT-
KERJA-KERJA BAIKPULIH DAN NAIKTARAF MUZIUM SASTERA MELAKA
Muzium
Sastera Melaka yang ditutup kepada pengunjung mulai 14 Julai tahun
lalu bagi pelaksanaan kerja-kerja baikpulih dan menaiktaraf bangunan
dan pameran telah dibuka semula kepada pelawat mulai 1 Ogos 2009.
Muzium ini telah diolah secara keseluruhannya dengan menampilkan 9
tema melalui ruang pamerannya yang terdiri daripada Pengenalan,
Sejarah Perkembangan Sastera, Peranan Melaka Dalam Perkembangan
Sastera, Sasterawan Negara – Datuk A. Samad Said, Genre
Kewartawanan, Tradisi Lisan, Penyelidikan dan Manuskrip Asal, Tokoh
Sastera Terkini serta Kegiatan Persatuan dan Bahasa. Konsep dan
fokus pameran adalah berbeza berbanding sebelum dinaiktaraf dengan
memberikan peluang kepada pelawat dan penyelidik khasnya untuk
mengenali dan memperoleh maklumat khusus mengenai perkembangan
Sastera di negeri Melaka sendiri. Kesemua tokoh Sastera yang
ditonjolkan adalah anak jati negeri Melaka dan ada antara tokoh
Sastera luar yang menggunakan negeri Melaka sebagai latar penulisan
mereka.
Menurut
Haji Khamis bin Haji Abas, Pengurus Besar Perbadanan Muzium
Melakadalam satu majlis serah tapak pada Jumaat lalu, teknik pameran
menggunakan panel-panel grafik, peti pameran, audio visual dan
mural. Ruang dalamannya juga kini lebih selesa dengan sentuhan
perabot dan grafik moden serta dilengkapi dengan pendingin hawa
untuk keselesaan pelawat. Pada majlis ini, 3 orang pakar rujuk utama
penubuhan muzium Sastera hadir sama iaitu Prof. Madya Datuk Dr. Abd
Latiff Bakar, Haji Mokhtar Yassin dan Haji Raus Md. Sam.
Muzium
Sastera Melaka ditempatkan dalam bekas bangunan yang dibina pada era
British. Menurut kajian, bangunan ini dipercayai digunakan sebagai
rumah kediaman pada zaman tersebut dan pernah dijadikan sebagai
bilik tahanan pesalah sebelum menjalani hukuman pancung semasa zaman
pemerintahan Jepun. Sebelum diubahsuai sebagai muzium, Perbadanan
Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) merupakan pengguna terakhir iaitu
sekitar tahun 1974.
Antara
tarikan utama muzium ini adalah sebuah mural lakaran wajah tokoh
yang amat sinonim dengan negeri Melaka dan memainkan peranan yang
besar dalam perkembangan sastera di bahagian luar bangunan.
Mural berkenaan memaparkan potret Tun Sri Lanang – Era Kesultanan Me
di bahagian Melayu Melaka, Munshi Abdullah – Zaman Transisi Barat,
Syed Sheikh Al-Hadi – Zaman Reformasi Islam (sebelum kemerdekaan)
dan Datuk A. Samad Said – zaman selepas kemerdekaan.
Muzium
Sastera Melaka merupakan salah satu komponen pakej tiket Kompleks
Muzium Stadthuys yang berharga RM5.00 bagi dewasa dan RM2.00 untuk
kanak-kanak. Para pelawat boleh mengunjungi muzium ini setiap hari
mulai jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang. Dengan tiket yang sama,
pengunjung boleh memasuki Muzium Sejarah dan Ethnografi, Muzium
Pendidikan, Muzium Pemerintahan Demokrasi, Muzium Yang diPertua
Negeri Melaka dan Galeri Cheng Ho.
-TAMAT-
KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN PERZIM ANJUR PERLAWANAN
PERSAHABATAN BOLA JARING DENGAN MAJIA
Muzium Yang di-Pertua
Negeri Melaka (29 Julai 2009): Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM (KSK
PERZIM) hari ini mengadakan perlawanan bola jaring persahabatan
dengan Persatuan Jurulatih Junior Aerobik Negeri Melaka (MAJIA).
Perlawanan pertama pasukan bola jaring PERZIM yang dikenali dengan
nama 'Srikandi' ini berlangsung hebat di Padang Muzium Yang
di-Pertua Negeri Melaka dengan keputusan 11-6.
Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Haji Abas ketika ditemui selepas perlawanan
tersebut memaklumkan antara tujuan penganjuran perlawanan ini bagi
mewujudkan satu jalinan perhubungan secara langsung dengan
masyarakat ke arah memartabatkan institusi pemuziuman di negeri
Melaka.
Melalui pendekatan ini
membolehkan PERZIM menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat
berhubung tugas dan peranan yang dilaksanakan PERZIM di dalam
memastikan warisan negara terus terpelihara. Orang ramai berpeluang
untuk mengenali serta merapatkan diri dengan PERZIM secara langsung
serta memudahkan usaha mempromosi muzium-muzium dijalankan dengan
berkesan.
Ketua pasukan
'Srikandi' Cik Farahwahedah bte Abd Wahab ketika ditemui turut
menyatakan kegembiraan di atas kejayaan pada perlawanan sulung
pasukan PERZIM. Ternyata latihan insentif yang dijalankan selama dua
minggu telah membuahkan hasil. Beliau turut menyatakan keazaman
untuk menjadikan 'Srikandi' sebagai pasukan bola jaring yang
digeruni di Bandaraya Melaka.
-TAMAT-
PERZIM ANJUR BENGKEL SENI KHAT INSTITUSI PENDIDIKAN
PERINGKAT NEGERI MELAKA TAHUN 2009
Jalan Kota, Melaka (17
Julai 2009) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) akan menganjurkan
Bengkel Seni Khat Institusi Pendidikan Peringkat Negeri Melaka Tahun
2009 pada 18 Julai 2009 bertempat di Muzium al-Quran Melaka,
Kompleks Masjid Al-Azim, Bukit Palah Melaka. Bengkel dengan
kerjasama Yayasan Restu, Jabatan Pelajaran Melaka dan Jabatan Agama
Islam Melaka ini diadakan bagi memupuk minat dan mencungkil bakat di
kalangan para pelajar dan orang ramai dalam bidang penulisan khat.
Menurut Pengurus Besar
PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas dalam kenyataannya hari ini
memaklumkan keperluan untuk melahirkan kesedaran akan kepentingan
khat sebagai wacana penyampai ilmu serta seni yang tinggi
martabatnya dalam Tamadun Islam amat penting memandangkan peranan
Melaka suatu ketika dulu sebagai pusat penyebaran agama Islam di
Asia Tenggara. Dengan penganjuran bengkel seperti ini juga memberi
peluang kepada orang ramai mengetahui sejarah perkembangan tulisan
khat ke Melaka serta alam Melayu lainnya. Selain itu juga diharapkan
dapat memartabatkan kembali tulisan khat Melayu yang hampir lenyap
dari sejarah Tamadun Melayu.
Orang ramai juga boleh melawat ke Muzium Al-Quran yang terletak di
kompleks Masjid Al-Azim, Bukit Palah bagi melihat sendiri kesenian
dan keindahan seni khat yang telah dihasilkan. Terdapat pelbagai
jenis khat dan peluang sebegini sewajarnya digunakan sebaik mungkin
bagi mengetahui serta mendalami seni khat yang menjadi simbol
kebesaran Islam
-TAMAT-
KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN PERZIM ANJUR BACAAN YASSIN
DI MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA
Jalan Kota, Melaka (17
Julai 2009): Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM (KSK PERZIM) hari ini
menganjurkan Majlis Bacaan Yassin yang diadakan di Muzium Istana
Kesultanan Melaka.
Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Haji Abas ketika ditemui menyatakan tujuan
penganjuran ini diadakan bagi melahirkan kakitangan PERZIM yang
bertanggungjawab untuk agama, bangsa dan negara.
’Program pengisian
rohaniah sebegini diharapkan mampu mendidik warga PERZIM agar
menjadikan mereka lebih bersedia di dalam segala segi. Keseimbangan
program yang dijalankan di PERZIM amat diperlukan sebagai persediaan
mantap ke arah menjadikan PERZIM sebagai institusi pemuziuman yang
terbaik di Malaysia. Peranan PERZIM sebagai peneraju industri
pelancongan di Negeri Melaka ternyata lebih berkesan apabila
memiliki warga yang bertanggungjawab serta mampu memberikan komitmen
yang tinggi terhadap tugas mereka’, kata Pengurus Besar PERZIM, Haji
Khamis bin haji Abas yang ditemui selepas selesai majlis berkenaan.
Pengerusi Kelab Sukan
dan Kebajikan PERZIM, En. Nurman bin Mohd Baroldin juga memaklumkan
bahawa program sebegini akan dijadikan acara bulanan yang akan
dilaksanakan di semua muzium.
-TAMAT-
KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN PERZIM ANJUR KARAOKE
BINTANG WARISAN PERZIM
Jalan Kota, Melaka (16
Julai 2009): Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM (KSK PERZIM) hari ini
menganjurkan Pertandingan Karaoke Bintang Warisan PERZIM sempena
Sambutan Ulangtahun Bandaraya Warisan Dunia.
Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Haji Abas ketika ditemui menyatakan tujuan
penganjuran ini bagi mencungkil bakat-bakat dari Kakitangan PERZIM
yang boleh menyayikan lagu-lagu berunsur warisan dengan baik. Selain
itu juga dengan penganjuran sebegini dapat mewujudkan satu
persefahaman yang baik di kalangan kakitangan PERZIM. Ianya juga
amat baik bagi menimbulkan suasana kerja yang ceria di kalangan
kakitangan PERZIM yang tentunya berdepan dengan pelbagai reaksi dari
pengunjung.
Pengerusi Kelab Sukan
dan Kebajikan PERZIM, En. Nurman bin Mohd Baroldin juga melahirkan
kegembiraan apabila pertandingan yang dikhususkan kepada kakitangan
PERZIM ini mendapat sambutan baik dari kalangan kakitangan PERZIM.
Adalah amat bertepatan ketika sambutan Ulangtahun Bandaraya Warisan
Dunia ini disambut dengan pelbagai acara baik di peringkat negeri
mahupun agensi. Diharap dengan penganjuran sebegini menjadikan warga
PERZIM lebih komited terhadap tugas yang diamanahkan bagi memastikan
warisan negara terus bertahan.
Pertandingan yang
turut diadili oleh En. Mohd Isa bin Maarof dari Jabatan Kebudayaan
dan Keseniaan Negara Negeri Melaka ini telah dimenangi oleh pasangan
En. Mohd Zaidi bin Ibrahim dan En. Zulkahar bin Zulkefli.
-TAMAT-
PERZIM TERUSKAN PROMOSI DI SEKOLAH
Malim, Melaka (13
Julai 2009): Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini meneruskan
lagi rangka promosi muzium-muzium dengan mengunjungi Sek. Men. Keb.
Malim, Melaka. Rombongan PERZIM yang diketuai oleh Penolong Kurator
(Pemasaran), En. Nurman bin Mohd Baroldin disambut oleh Guru
Penolong Kanan (Kemanusiaan), Puan fadhilah bte Abd. Rahman.
Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Haji Abas ketika dihubungi memaklumkan PERZIM
akan meneruskan kaedah promosi muzium di kalangan pelajar-pelajar
sekolah yang telah memberi kesan yang besar bagi mencetuskan minat
orang ramai untuk terus mengunjungi muzium Melaka. Adalah amat perlu
bagi kita membimbing serta menanamkan minat yang tinggi di kalangan
pelajar sekolah agar kita mempunyai barisan pelapis yang menghayati
warisan sejarah di negara kita. Institusi pemuziuman berperanan
besar sebagai sumber rujukan dan pendidikan yang sangat berguna
untuk para pelajar mencari dan mendapatkan maklumat tentang sejarah
negara.
Dalam kunjungan
tersebut, PERZIM berpeluang mengadakan pameran untuk mempromosi
muzium-muzium yang terdapat di Melaka serta mengedarkan
brosur-brosur kepada pelajar sekolah bagi menimbulkan minat di
kalangan pelajar untuk terus mengunjungi muzium. Selain mengadakan
kuiz barkaitan sejarah, PERZIM juga berkesempatan memberikan
taklimat khas pemasaran di hadapan kesemua kira-kira 400 orang
pelajar sekolah berkenaan.
-TAMAT-
MAJLIS PERKAHWINAN
DI RUMAH TRADISIONAL BUKIT CINA JADI SAKSI PERTEMBUNGAN DUA BUDAYA
10 Julai 2009 -
Perbadanan Muzium Melaka hari ini amat bertuah kerana selepas siap
memulihara rumah Tradisional milik En. Md. Bazid di Jalan Puteri
Hang Li Poh, Lorong Haji Tahir, Kampung Bukit Cina hari ini dijemput
pula merakamkan hari istimewa perkahwinan anak perempuan tuan rumah
mengikut tradisi masyarakat Melayu dan juga adat masyarakat India.
Majlis
perkahwinan anak perempuan kepada En. Md Bazid Bin Haji Harun dan
Puan Ramlah Bte Hassan berlangsung dalam suasana yang agak
unik kerana anak mereka telah ditemukan jodoh dengan saudara baru
berbangsa India. Anak perempuannya, Fazlinah Bte Md Bazit telah
memilih Arifz Azwann Bin Ramiyah yang berasal dari Seremban, Negeri
Sembilan sebagai pasangan hidupnya. Mereka telah dinikahkan oleh
Imam dua Masjid Bukit Cina. Rombongan pengantin lelaki telah membawa
7 dulang hantaran berbalas 9 dulang dari pihak pengantin perempuan.
Majlis pernikahan
turut dihadiri oleh keluarga di sebelah pengantin lelaki dengan
pakaian tradisional masyarakat India yang berwarna-warni. Turut
hadir di majlis pernikahan tersebut ialah Puan Valiammal a/p
Rengasamy dan juga kakak beliau Visalachy a/p Ramiyah. Mereka amat
tertarik dengan budaya dan adat perkahwinan Melayu dan tidak akan
melepaskan peluang untuk menghadiri semua upacara yang akan
berlangsung di rumah besannya.
Pada sebelah
malamnya, majlis berinai besar telah diadakan dan pengantin telah
dipakaikan dengan sepersalinan pakaian tradisional wanita India
(sari) berwarna merah dan diarak menyambut pengantin lelaki yang
turut berpakaian tradisi India. Upacara berarak tambah meriah
apabila paluan kompang beselang-seli dengan pukulan gendang dan
serunai yang mengiringi ketibaan rombongan pengantin lelaki. Kaum
keluarga dan sanak saudara kedua-dua belah pihak dilihat amat
terpesona dengan gabungan dua budaya yang tidak pernah dilihat
sebelum ini. Kedua-dua pengantin juga diraikan di majlis
persandingan mengikut tradisi Melayu pada keesokannya.
Pengurus Besar
PERZIM, Haji Khamis bin Haji Abas ketika dihubungi menyatakan
kesyukuran kerana orang ramai berpeluang menyaksikan perkahwinan dua
budaya unik yang dilangsungkan di salah sebuah rumah tradisional di
Bandaraya ini. Lebih bermakna lagi apabila majlis perkahwinan unik
ini dilangsungkan ketika negeri Melaka sedang meraikan sambutan
ulangtahun pertama pengistiharan Melaka sebagai Bandaraya Warisan
Dunia.
-TAMAT-
PERZIM TERUSKAN PROMOSI DI SEKOLAH
Lubok China, Masjid
Tanah, Melaka (8 Julai 2009): Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari
ini meneruskan rangka promosi muzium-muzium dengan mengunjungi Sek.
Men. Keb. Lubok China, Masjid Tanah, Melaka. Rombongan PERZIM yang
diketuai oleh Penolong Kurator (Pemasaran), En. Nurman bin Mohd
Baroldin disambut oleh Guru Penolong Kanan (Ko-Kurikulum), En. Abd.
Halim bin Md. Ali.
Dalam kinjungan
tersebut, PERZIM berpeluang mengadakan pameran untuk mempromosi
muzium-muzium yang terdapat di Melaka serta mengedarkan
brosur-brosur kepada pelajar sekolah bagi menimbilkan minat di
kalangan pelajar untuk mengunjungi muzium. PERZIM juga berkesempatan
memberikan taklimat khas pemasaran di hadapan kesemua 1050 orang
pelajar sekolah berkenaan.
Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Haji Abas ketika dihubungi memaklumkan PERZIM
sememangnya berhasrat untuk meneruskan kaedah promosi muzium di
kalangan pelajar-pelajar sekolah yang ternyata memberi kesan yang
besar bagi mencetuskan minat orang ramai untuk terus mengunjungi
muzium Melaka. Dalam menanamkan rasa cinta kepada warisan sejarah
ini, amat perlu bagi kita mendidik generasi sekarang agar timbul
semangat penghargaan yang tinggi terhadap warisan dan budaya yang
dimiliki. Institusi pemuziuman berperanan besar sebagai sumber
rujukan dan pendidikan yang sangat berguna untuk para pelajar
mencari dan mendapatkan maklumat tentang sejarah negara.
Haji Khamis juga
menambah bahawa PERZIM akan meneruskan rangka promosi sebegini yang
dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan.
-TAMAT-
WARGA PERZIM MERAIKAN SAMBUTAN ULANGTAHUN PERTAMA
PENGISTIHARAN BANDARAYA WARISAN DUNIA
Banda Hilir, Melaka (7
Julai 2009) : Warga PERZIM hari ini meraikan sambutan ulangtahun
pertama pengistiharan Bandaraya Warisan Dunia yang disambut pada
hari ini dengan mengenakan pakaian tradisional. Seluruh warga PERZIM
menyahut seruan Kerajaan Negeri Melaka dengan mengenakan busana
Melayu Tradisonal lengkap dengan setanjak dan samping. Lebih
membanggakan apabila urusan kerja seharian dilakukan sempurna dengan
penuh kebanggaan disamping busana yang dipakai.
Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Haji Abas nyata berbangga dengan respon yang
ditunjukkan oleh warga PERZIM. Nyata sambutan ulangtahun pertama
pengistiharan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia lebih bermakna
apabila diraikan dengan mengenakan pakaian tradisional. Beliau juga
memuji langkah kerajaan Negeri Melaka yang menggalakkan pemakaian
busana sedemikian yang secara tidak langsung mencetuskan semangat
menghargai warisan yang dimiliki. Beliau juga melahirkan kekaguman
kepada warga PERZIM yang nyata tidak janggal malah menggayakan
pakaian tradisional dengan penuh kebanggaan.
Sifat yang dimiliki
oleh warga PERZIM sewajarnya dijadikan contoh oleh generasi masa
kini yang semakin hilang dengan pengaruh kemodenan. Diharapkan agar
warisan sejarah yang dimiliki terus kekal dan sewajarnya orang ramai
menghargainya. Status sebagai Bandaraya Warisan Dunia merupakan satu
penghargaan dunia yang cukup besar ertinya kepada negeri Melaka.
Diharapkan dengan status ini akan menjadikan rakyat negeri ini
menghargai malah sedia mempertahankan warisan sejarah bangsa agar
terus mekar dan kekal selamanya untuk dihayati oleh generasi
akan datang.
-TAMAT-
KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN PERZIM ANJUR PROGRAM
CERAMAH AGAMA
Banda Hilir, Melaka (3
Jun 2009) : Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM menganjurkan
ceramah agama sempena sambutan Israk dan Mikraj. Ceramah agama ini
diadakan di Dewan Galeri Ketua Menteri Melaka, Bukit Peringgit.
Pengurus Besar PERZIM,
Haji Khamis bin Haji Abas berkata program keagamaan yang dijalankan
merupakan antara aktiviti KSK PERZIM yang utama bagi melahirkan
warga PERZIM yang progresif dan bertanggungjawab terhadap tugasan
mereka. Program seperti ini amat bertepatan seiring dengan peranan
PERZIM yang bertanggungjawab memelihara warisan sejarah negara.
Diharapkan dengan ceramah ini akan menjadikan kami lebih berdisiplin
serta beretika dalam melaksanakan tanggungjawab besar yang
diamanahkan kepada kami.
Dalam ceramah
berkenaan, Y.Bhg Ustaz Haji Jaafar bin Haji Ali, Imam Masjid Bertam
Hulu sudi menyampaikan ceramah sempena Israk dan Mikraj. Pengerusi
KSK PERZIM, En. Nurman bin Mohd Baroldin turut memaklumkan bahawa
KSK PERZIM akan terus mengisi beberapa program kelab bercorak
keagamaan bagi melahirkan warga yang dinamik seiring dengan matlamat
PERZIM untuk terus mengungguli industri pelancongan di Melaka.
-TAMAT-
TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA
MERASMIKAN PENYEMPURNAAN MASJID PENGKALAN RAMA
Pengkalan Rama,
Melaka (3 Julai 2009): Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri
Melaka, Tun Mohd Khalil bin Yaakub hari ini berkenan untuk
merasmikan Penyempurnaan Kerja-kerja Baikpulih Masjid Pengkalan Rama,
Melaka.
TYT Yang di-Pertua
Negeri Melaka telah berkesempatan menunaikan solat Jumaat bersama
penduduk kampung Pengkalan Rama sebelum merasmikan penyempurnaan
kerja-kerja baikpulih yang dijalankan di masjid ini. Sebelum ini
masjid ini telah ditutup bagi memberi laluan kerja-kerja baikpulih
yang dilaksanakan oleh Perbadanan Muzium Melaka.
Pengurus Besar
PERZIM, Haji Khamis bin Haji Abas yang dihubungi memaklumkan
kerja-kerja baikpulih ini telah dilaksanakan melalui kerjasama
Pejabat Pembangunan Negeri yang telah meluluskan peruntukan bagi
projek penyelenggaraan/ baikpulih/ masjid-masjid traditional/ lama
di Negeri Melaka di bawah peruntukan Projek Keagamaan Negeri Tahun
2009.
Kerja-kerja
baikpulih masjid yang dibina pada tahun 1730 ini dilaksanakan PERZIM
bagi memelihara dan mengekalkan keaslian masjid ini agar ianya tetap
utuh dan teguh. Masjid ini juga dikenali dengan nama Masjid ‘Fathur
Rahman’ yang bermaksud Pembukaan – Allah Yang Bersifat Maha Pemurah.
-TAMAT-
UNIT POLIS PELANCONG MERIAHKAN ’SIHAT CERIA PERZIM’
Banda Hilir, Melaka (2
Mei 2009) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini meneruskan
program Sihat Ceria PERZIM. Program riadah anjuran Kelab Sukan dan
Kebajikan PERZIM ini telah dijadikan acara wajib pada hari Khamis
pertama setiap bulan serta disertai oleh seluruh warga PERZIM
bermula pada jam 5.30 petang.
Menurut Haji Khamis
bin Haji Abas, Pengurus Besar PERZIM, program kali ini turut
disertai oleh beberapa anggota dari Unit Polis Pelancong, PDRM yang
diketuai oleh Inspektor Lina bte Samidi. Haji Khamis yang dihubungi
melahirkan kegembiraan apabila menyatakan program ini berjaya
memenuhi matlamatnya. Ianya bukan sahaja dapat membentuk warga
PERZIM yang sihat dan cergas, namun telah mengeratkan jalinan
kerjasama serta membentuk satu persefahaman yang erat di kalangan
warga PERZIM. Apa yang lebih membanggakan apabila hubungan erat ini
dapat dikembangkan lagi dengan menjemput Unit Polis Pelancong untuk
bersama memeriahkannya.
Beliau juga amat
berpuas hati apabila sepanjang penganjuran program ini, beberapa
pelancong asing juga turut bersama menyertai program ini. Ternyata
idea menganjurkan program ini oleh Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM
merupakan satu usaha yang baik serta sangat berkesan bagi PERZIM
untuk terus mengungguli industri pelancongan di Bandaraya Warisan
Dunia ini.
-TAMAT-
PERZIM ANJUR PROMOSI DI SEKOLAH
Nyalas, Asahan (1
Julai 2009): Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini membuat
promosi muzium-muzium di Melaka dengan memberi pendedahan kepada
pelajar-pelajar sekolah. Kerjasama yang dijalankan melalui
Kementerian Pendidikan ini memberi peluang kepada orang ramai
terutama pelajar-pelajar sekolah bagi mengenali serta memahami
dengan lebih jelas tentang peranan yang dilakukan oleh PERZIM.
Pengurus Besar PERZIM,
Tuan Haji Khamis bin Haji Abas dalam kenyataannya memaklumkan
pendekatan ini dijalankan bagi memastikan segala hasil usaha
memulihara warisan sejarah yang dilakukan selama ini dapat
disampaikan terus kepada para pelajar, secara tidak langsung juga
mendekatkan diri dengan orang ramai. Melalui pendekatan ini
membolehkan PERZIM memaklumkan kepada masyarakat secara langsung
tentang tugas dan peranan yang dilaksanakan PERZIM di dalam
memastikan warisan negara tetap terpelihara. Orang ramai juga
berpeluang untuk mengenali serta merapatkan diri dengan PERZIM
secara langsung. Pendekatan yang dilaksanakan ini diharap dapat
memudahkan PERZIM menyalurkan maklumat kepada masyarakat disamping
memudahkan mereka berinteraksi secara langsung.
Dalam rangka promosi
tersebut, Penolong Kurator (Pemasaran) PERZIM, En. Nurman bin Mohd
Baroldin telah memberi taklimat kepada kira-kira 500 orang pelajar
Sek.Men.Keb. Nyalas, Asahan, Jasin. Selain dari penerangan secara
langsung, PERZIM juga mengadakan pameran mini dan berkesempatan
mengedarkan brosur-brosur terbitan PERZIM bagi menggalakkan
masyarakat mendekatkan diri dengan institusi pemuziuman.
Haji Khamis juga
menambah bahawa PERZIM akan meneruskan rangka promosi sebegini yang
ternyata berkesan bagi menyampaikan maklumat pemuziuman secara terus
kepada para pelajar.
-TAMAT-
PAMERAN GAMBAR TAPAK
WARISAN DUNIA JEPUN
DI KOMPLEKS MUZIUM STADHUYS
Banda Hilir, Melaka
(30 Jun 2009) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) akan mengadakan
pameran gambar tapak-tapak warisan dunia yang terdapat di Jepun.
Pameran selama sebulan ini akan diadakan di Muzium Sejarah dan
Etnografi bermula 1 Julai 2009 dan akan berakhir pada 31 Julai 2009.
Menurut Haji Khamis
bin Haji Abas, Pengurus Besar PERZIM, pameran yang diadakan dengan
kerjasama dari The Japan Foundation ini akan mempamerkan sejarah
serta maklumat kesemua 13 tapak warisan dunia yang terdapat di
Jepun.
Diminta mengulas
mengenai tapak-tapak warisan dunia yang terdapat di Jepun, Haji
Khamis memaklumkan UNESCO telah mengiktiraf empat tapak pada tahun
1993 antaranya Shirakami-Sanchi Mountain Range, Yaku-shima Island,
Himeji-jo Castle dan Buddihist Monuments of the Horyu-ji Temple
Area.
Kemudiannya pada tahun
1999, beberapa tapak lagi telah diiktiraf termasuk Genbaku Dome,
Itsukushima-jinja Shrine, Historic Monuments of Ancient Kyoto,
Gassho-zukuri Villages of Shirakawa-go and Goyakama dan Shrines and
Temples of Nikko.
Pada tahun 2000 pula,
Gusuku Site and related of the Kingdom of Ryukyu yang meliputi Kota
Shuri-jo juga telah dimasukkan sebagai salah satu tapak warisan
dunia di Jepun.
Beberapa tapak lagi
telah dimasukkan antaranya Sacred Sites and Pilgrimage in the Kii
Mountain Range and the Cultural Landscapes that Surround Them pada
tahun 2004 serta Shiretoko pada tahun 2005 menjadikan Jepun memiliki
13 tapak yang telah diiktiraf oleh UNESCO.
Pameran ini tentunya
akan memberi gambaran jelas tentang usaha-usaha yang telah dilakukan
oleh Jepun bagi memulihara warisan sejarahnya yang mana sehingga
kini dapat dirasakan serta dihayati bagi generasi akan datang.
Pameran ini juga antara lainnya boleh dijadikan sebagai sandaran
kepada masyarakat kita agar menghargai seterusnya memastikan agar
warisan yang kita miliki akan kekal selamanya, ujarnya nya ketika
dihubungi.
-TAMAT-
PEMENTASAN TEATER SEL 96
Bandar Hilir, Melaka: Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)
dan Jabatan Penjara Malaysia akan menganjurkan teater yang bertajuk
Sel 96 pada 20 Jun (Sabtu) hingga 21 Jun (Ahad) 2009 dan
27 Jun (Sabtu) hingga 28 Jun(Ahad) 2009 yang bertempat di Dewan
Perzim, Muzium Rakyat, Jalan Kota, Melaka. Pementasan teater ini
diadakan bersempena dengan penganjuran pameran Last Voices of
Pudu Jail (Suara Akhir Penjara Pudu) yang kini sedang
berlangsung di Balai Syed Sheikh Al-Hadi, Muzium Dunia Melayu Dunia
Islam, Bastion House, Jalan Kota, Melaka.
Menurut Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin
Haji Abas,
persembahan teater ini akan mengisahkan tentang
kehidupan sebenar banduan-banduan yang berada di dalam penjara serta
perkara-perkara yang sentiasa terjadi di dalam penjara. Secara tidak
langsung, pementasan teater ini diharap dapat dijadikan ikhtibar
kepada penonton tentang kesengsaraan, keperitan dan juga keinsafan
serta kesedaran yang akan diperolehi oleh penonton.
Pementasan teater ini akan dijayakan oleh Kumpulan
Sahabat Penjara Malaysia yang terdiri daripada kakitangan Jabatan
Penjara Malaysia sendiri. Para pelawat yang memasuki Muzium Rakyat
akan dapat menonton persembahan ini secara percuma yang akan bermula
dari jam 3.00 petang hingga 4.00 petang. Penonton hanya perlu
membayar tiket masuk ke Muzium yang ber harga RM2.00 untuk dewasa
dan RM0.50 sen untuk kanak-kanak. Oleh yang demikian, Tuan Haji
Khamis, Pengurus Besar PERZIM mengalu-alukan kehadiran orang ramai
untuk sama-sama menonton teater yang menarik ini.
-TAMAT-
PERZIM MERAIKAN PENGUNJUNG KE 300,000
Banda Hilir, Melaka
(16 Jun 2009) : Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) hari ini
mengadakan satu majlis ringkas meraikan pengunjung ke 300,000
bertempat di Kompleks Muzium Stadhuys.
Pengurus Besar PERZIM, Haji Khamis bin
Haji Abas dalam kenyataannya hari ini memaklumkan majlis ini
diadakan bagi menghargai serta
berterima kasih kepada pengunjung-pengunjung yang telah menjadikan
muzium-muzium di Melaka sebagai satu destinasi pilihan yang wajib
ketika berkunjung ke Bandaraya ini. Jumlah pengunjung yang telah
mengunjungi kesemua 21 muzium pada tahun ini telah mencapai angka ke
300,000 orang. Jumlah ini telah menunjukkan peningkatan yang sangat
baik berbanding statistik pengunjung sehingga Jun 2008 iaitu seramai
238,916 orang sahaja. Beliau juga berharap agar angka ini akan terus
meningkat serta melepasi sasaran PERZIM iaitu seramai 640,000 bagi
tahun ini.
Peningkatan ini adalah
hasil usaha berterusan yang telah dijalankan oleh PERZIM bagi
menjadikan muzium sebagai destinasi pelancongan popular yang mesti
dikunjungi oleh pengunjung. PERZIM juga merasa bertuah dengan usaha
yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan yang berjaya
menarik pengunjung bagi mengunjungi negeri bersejarah ini. PERZIM
akan terus bekerjasama dengan semua agensi kerajaan yang berkaitan
serta semua produk-produk pelancongan yang terdapat di Melaka bagi
menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan unggul yang mesti
dikunjungi di Malaysia.
Pada majlis itu
seorang pengunjung, Mr. Peter Dunne (61) dari Glen Iris, Victoria,
Australia bertuah apabila diumumkan sebagai pengunjung ke 300,000
bagi tahun 2009 ini. Beliau kelihatan terpinga-pinga mendengar
paluan kompang dari warga PERZIM sebaik membeli tiket untuk
mengunjungi Kompleks Muzium Stadhuys. Beliau menerima cenderahati
dari Pengurus Besar PERZIM, Tuan Haji Khamis bin Haji Abas berupa
hamper, sijil serta buku-buku terbitan PERZIM. Lebih menarik lagi
apabila beliau turut menerima pas lawatan percuma untuk mengunjungi
semua muzium di Melaka serta tiket percuma bagi menaiki bot di
Sungai Melaka dan Menara Taming Sari.
Beliau yang merupakan
seorang guru, menyatakan rasa terkejut serta tidak menyangka beliau
merupakan pengunjung ke 300,000 bagi tahun ini. Percutian saya
selama 4 hari di Melaka kali ini merupakan satu percutian yang
sangat bermakna.
Saya gemar budaya unik
yang terdapat di Melaka yang tidak terdapat di negeri lain. Saya
amat tertarik dengan kebudayaan masyarakat Portugis, Chetti serta
Baba Nyonya yang merupakan satu kelebihan dan tarikan untuk saya
berada lebih lama di Melaka katanya ketika ditemui selepas sambutan
berkenaan.
Saya pasti akan datang
semula ke Melaka bersama keluarga saya pada penghujung tahun nanti,
katanya lagi yang mengakui sangat tertarik dengan keindahan dan
kebersihan di Bandaraya ini.
-TAMAT- |